Pengajian Kolej Komuniti dipendek
Langkah itu dilaksanakan melalui Program Sijil Kemahiran Modular Kebangsaan yang menjadi salah satu agenda utama Program Pengukuhan Institusi Kolej Komuniti dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pelaksanaan kurikulum secara bermodular itu akan menjimatkan masa pelajar yang mahu mengkhusus dalam bidang tertentu, sekali gus membolehkan mereka menyertai dunia kerjaya dengan lebih cepat.
Sebagai permulaan, beliau berkata, kolej komuniti menawarkan 47 kursus modular yang merangkumi sembilan sektor, iaitu Servis Penyejukan dan Penyaman Udara, Akuakultur, Servis Kenderaan Ringan, Pemasangan Elektrik, Penyelenggaraan Bangunan, Menyelenggara dan Membaiki Bot, Pengendalian Pelancongan, Operasi Hotel serta Kulinari.
“Mod ini menawarkan pembelajaran yang fleksibel di mana ada peluang untuk terus belajar ke peringkat lebih tinggi. Jangka masa latihan yang singkat juga bermakna lebih ramai akan dapat mengikuti program ini.
“Dianggarkan setiap tahun, lebih 100,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memasuki pasaran kerja tanpa latihan kemahiran. Golongan ini menjadi sasaran utama Program Sijil Kemahiran Modular Kebangsaan,” katanya pada majlis pelancaran Program Pengukuhan Institusi Kolej Komuniti yang disempurnakan Muhyiddin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Menjelaskan lanjut pada sidang akhbar, Mohamed Khaled berkata, seramai 25,000 pelajar mendaftar di kolej komuniti seluruh negara, kelmarin, sebagai kumpulan pertama yang mengikuti Program Sijil Kemahiran Modular Kebangsaan.
Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata, pelaksanaan Program Pengukuhan Institusi Kolej Komuniti akan menjadikan kolej berkenaan sebagai pemangkin utama kepada pembentukan masyarakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi di negara ini.
Katanya, Program Pemindahan Ilmu akan meletakkan kolej komuniti pada kedudukan amat strategik untuk menyalurkan penemuan baru hasil penyelidikan universiti tempatan supaya dimanfaatkan masyarakat setempat.
- BERITA HARIAN