Program ganti Perdana dilaksana awal 2011

PROTON Holdings Bhd dijangka melaksanakan program gantian model Proton Perdana awal tahun depan dalam usaha meningkatkan penguasaan pasarannya dalam segmen enjin berkuasa lebih 2.0 liter di pasaran tempatan.

Sumber industri berkata, pengeluar kereta nasional itu kini sedang serius berunding dengan sebuah syarikat automotif berpangkalan di Eropah tetapi beroperasi di luar benua itu.

“Selepas kerjasama dengan Volkswagen AG gagal menjadi kenyataan baru-baru ini, Proton giat mencari rakan kongsi bagi program penggantian Perdana.

“Ia kini serius berunding dengan sebuah syarikat pengeluar kereta dari Eropah itu yang tidak beroperasi di sana. Rundingan itu menjurus kepada kemungkinan pembentukan kerjasama bagi program itu.

“Proton menyasar memulakan program penggantian Perdana selewat-lewatnya awal tahun depan iaitu selepas pelancaran model Waja baru menjelang Disember ini,” katanya kepada Berita Harian baru-baru ini.

Selain rundingan dengan Volkswagen yang ditamatkan pada awal Jun lalu, Proton sebelum ini juga dikatakan sudah berunding dengan beberapa syarikat automotif antarabangsa lain untuk program Perdana baru itu.
Ia termasuk Mitsubishi, Renault SA serta Shanghai Automotive Industry Corp (SAIC), iaitu syarikat automotif China yang mengambil alih jenama pengeluar kereta Rover dari Britain dengan rundingan menjurus kepada penghasilan model berkuasa sekurang-kurangnya 2.4 liter.

Difahamkan, Proton juga sudah memberitahu kerajaan mengenai perkembangan dicapai menerusi rundingan terbarunya bagi memilih rakan kongsi untuk menghasilkan model Perdana itu.

Sumber itu berkata, model Perdana baru itu kelak tidak lagi menggunakan enjin 2.0 liter, sebaliknya menggunakan enjin berkuasa sekurang-kurangnya 2.4 liter.

Katanya, penggunaan enjin lebih berkuasa untuk model baru itu bertujuan mengangkat taraf Perdana sebagai kereta premium Proton, selain membezakannya dengan model gantian Waja akan turut menggunakan enjin 2.0 liter.

“Perdana baru itu nanti tidak lagi bersaing dengan model pengeluar dalam kelasnya sekarang, sebaliknya ia bakal menyaingi model lebih atas seperti Hyundai Sonata atau Kia Optima, malah Toyota Camry dan Honda Accord,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url