Pulau Pinang tawar 1,001 keistimewaan
Pulau Pinang menawarkan 1,001 macam keistimewaan yang pasti membuatkan sesiapa saja teruja sekiranya berkesempatan menjejaki kaki ke sini. Selain percutian tepi pantai, kunjungan ke Pulau Mutiara membolehkan pelancong mengenali budaya dan menyaksikan pelbagai bangunan warisan yang unik.
Keunikan reka bentuk dan seni bina bangunan di bandar Georgetown khususnya yang terletak di sepanjang Jejak Warisan, mendapat pengiktirafan antarabangsa sehingga sebagai Tapak Warisan Dunia.
Bagi mereka yang berpeluang atau ingin melancong ke Pulau Pinang, anda mempunyai 33 lokasi yang wajib dikunjungi dan 32 destinasi bersejarah untuk dilawati.
Antara 33 lokasi yang dimaksudkan ialah Bukit Bendera yang mempunyai ketinggian kira-kira 830 meter dari aras laut. Apabila berada di puncak bukit itu, pengunjung berpeluang menikmati pemandangan sekitar Georgetown yang cukup mengasyikkan, sama ada menggunakan teropong mahupun mata kasar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Law Heng Kiang, mengumumkan kajian memilih 12 lokasi pelancongan terbaik di negeri ini dan Bukit Bendera dipilih sebagai lokasi pelancongan terbaik di antara 45 lokasi di negeri ini.
"Ini diikuti Pantai Batu Feringgi yang menduduki tempat kedua, Persiaran Gurney, Tokong Kek Lok Si, Jambatan Pulau Pinang, Kota Cornwallis dan Menara Jam Queen Victoria, Street Of Harmony, Tanjung Marina dan feri," katanya.
Sudah pasti apabila datang ke negeri ini, tidak lengkap sekiranya tidak melawat Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) yang menjadi mercu tanda pusat bandar yang dikelilingi pusat beli- belah dan kawasan tumpuan orang ramai.
Sekitarnya pula, ada Jalan Penang, Jalan Masjid Kapitan Keling dan sekiranya ada yang mampu untuk berjalan, bolehlah ke Padang Kota Lama untuk menikmati pemandangan laut berlatar belakang terminal kapal.
Jika ingin merasai pengalaman berbeza, anda boleh menggunakan perkhidmatan percuma bas RapidPenang atau menaiki beca berwarna-warni yang setia menunggu pelanggan dengan tambang berpatutan.
Mereka yang minat untuk mandi manda, bolehlah ke Batu Feringgi yang menjadi pusat peranginan terkenal kerana keistimewaannya. Ia bukan saja memiliki banyak pantai percutian ‘memikat seperti Pantai Miami tetapi juga menjadi ’syurga’ beli-belah yang menyeronokkan.
Sebelah malam pula, terlalu banyak aktiviti ditawarkan di sepanjang Batu Feringgi daripada membeli-belah, makan dan juga pusat hiburan, malah di sini juga ditawarkan pelbagai aneka barangan ’berjenama’ dijual. Pastinya, jangan segan untuk tawar menawar.
Disebabkan ramai penduduk yang tinggal di pesisir pantai bekerja sebagai nelayan, sudah pasti banyak perkampungan nelayan yang wujud dan memberi pelbagai pengalaman berharga kepada mereka yang datang sendiri untuk melihat aktiviti nelayan.
Antara kampung nelayan yang boleh dilawati ialah Kampung Nelayan Teluk Bahang, Batu Maung dan Pulau Betong. Sekiranya ingin melihat hasil tangkapan, datanglah antara jam 12 tengah hari dan 3 petang.
Untuk mereka yang ingin melihat keindahan Balik Pulau sambil menikmati durian, inilah masanya kerana Pulau Pinang sekarang musim durian dan kebanyakannya datang dari dusun daerah itu.
Mereka yang minat dengan hasil sejarah dan keunikan yang terdapat sekitar Tapak Warisan Dunia, bolehlah menggunakan perkhidmatan beca untuk menyusuri laluan dan tempat menarik yang pasti membuat lensa kamera sentiasa berkelip.
Malah, dengan 32 lokasi bangunan bersejarah, sudah pasti ia akan mengambil masa untuk melihat kesemuanya dan kesabaran untuk melihat pasti berbaloi.
Pulau Pinang turut meraih pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai antara pulau utama Asia dalam kaji selidik Anugerah Terbaik Dunia anjuran majalah kembara antarabangsa, Travel+Leisure.
Kebanyakan bangunan mempunyai keunikan sendiri kerana masing-masing mempunyai latar belakang dan sejarah berbeza membabitkan pelbagai budaya dan keturunan termasuk Melayu Cina, Mamak, peranakan Aceh dan Sumatera.
Lokasi yang dimaksudkan adalah, sekitar Jalan Padang Kota Lama, Masjid Kapitan Keling atau dikenali sebagai Little India, Lebuh Cannon, Masjid Melayu Lebuh Acheh dan Persiaran Gurney.
- BERITA HARIAN