i-Visa bakal diperluas ke seluruh dunia - Abdul Rahman
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, buat masa ini sistem tersebut akan diperkenalkan ke China selepas India kerana ia memberi kemudahan kepada rakyat negara itu dari pelbagai bandar memohon visa.
Katanya, ia sekali gus akan menggalakkan rakyat dari negara itu untuk memasuki negara ini atas pelbagai tujuan termasuk pelancongan berikutan pejabat Imigresen hanya terhad di beberapa buah bandar raya utama dunia sahaja.
''Kita tidak menempatkan pejabat Imigresen di setiap bandar di negara asing, jadi melalui sistem ini mereka boleh memohon visa dari mana-mana tempat di negara itu tanpa perlu hadir ke pejabat Imigresen sedia ada.
''Di India kita hanya ada tiga buah pejabat Imigresen iaitu New Delhi, Mumbai dan Chennai manakala di China lima tempat seperti Hong Kong, Guangzhou, Beijing, Shanghai dan Kunmin," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata, selain tidak berkompromi atas ciri-ciri keselamatan, sistem tersebut mampu menjimatkan perbelanjaan dan penempatan pegawai jabatan itu di negara luar.
''Saya tidak menolak kemungkinan lima tahun lagi kita boleh aplikasi sistem online ke seluruh dunia memandangkan ia sudah dilaksanakan di Australia dan Singapura.
''Selain menyumbang kepada kemasukan pelancong ke negara ini, sistem tersebut mampu menjimatkan perbelanjaan dan penempatan pegawai di negara luar dan mungkin juga kita boleh tutup pejabat kita di sana," katanya.
Mengulas kegusaran pelancong berikutan pemansuhan visa sewaktu ketibaan (VOA), Abdul Rahman berkata, tidak ada peraturan baru dilaksanakan setelah kerajaan membuat keputusan berkenaan.
''Peraturan lain yang dilaksanakan sebelum ini berjalan seperti biasa, bukan satu perkara baru yang menyebabkan orang ramai resah gelisah bahawa mereka dikenakan visa semula.
''Contohnya, warganegara Yaman, mereka boleh masuk ke negara ini tanpa visa dan boleh tinggal dalam masa tiga bulan, jadi peraturan itu terpakai iaitu tidak bererti sekarang ini mereka dikenakan visa pula.
''Hanya empat negara sahaja dikenakan visa iaitu Sri Lanka, India, Pakistan dan Bangladesh manakala negara lain tetap menggunakan peraturan seperti dulu," katanya.
Mengenai langkah kerajaan mahu memperkenalkan sistem biometrik bagi mengurangkan kes pemalsuan identiti di kalangan rakyat asing yang masuk ke negara ini, katanya, sistem tersebut akan dikuat kuasakan 1 Oktober depan.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sistem itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk menambah baik sistem pengimbas cap jari yang sedang digunakan di Malaysia selain menangani masalah berkaitan pekerja asing tanpa izin termasuk majikan yang akan diambil tindakan jika mengambil mereka bekerja.
- UTUSAN