Kabinet Putuskan Keputusan Larang Mahasiswa Berpolitik Muktamad - Khaled Nordin
Katanya, Seksyen 15, Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) yang dipinda baru-baru ini, sudah memadai dalam konteks membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian selepas mendapat kebenaran naib canselor.
Beliau menegaskan, keputusan itu tidak sama sekali menghalang mahasiswa daripada mengetahui atau mengikuti perkembangan politik tanah air melalui pelbagai cara.
Pelajar IPT tetap dilarang berpolitik
Kerajaan tetap mengekalkan larangan berpolitik kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam walaupun ada gesaan supaya mahasiswa dibenarkan terbabit secara aktif dalam parti politik.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebelum ini sudah memadai kerana ia memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa untuk bersuara di kampus.
Larangan itu kekal. Tidak ada perkembangan terbaru mengenai cadangan membenarkan mahasiswa berpolitik. Mereka terikat dengan AUKU yang sebenarnya sudah dipinda dan memberi agak lebih kebebasan untuk mereka bersuara
Malah, di kampus juga sudah ada `speaker corner... ini tidak menghalang mahasiswa membicarakan soal politik kerana mereka juga rakyat Malaysia. Yang kita tidak benarkan ialah membabitkan diri secara aktif dalam parti dan politik, katanya pada sidang media selepas melancarkan buku Najib Tun Razak: Melakar Transformasi Malaysia di sini, semalam.
Kementerian Pengajian Tinggi kelmarin mahu mempertimbang untuk membenarkan mahasiswa di IPT awam membabitkan diri dalam parti politik.
Muhyiddin berkata, kebenaran berpolitik di IPT tidak boleh disamakan seperti kebenaran guru berpolitik di sekolah kerana murid sekolah belum boleh terbabit dalam politik berasaskan faktor usia yang masih mentah, sekali gus tidak memberi kesan kepada golongan itu.
Kalau di kampus sasarannya kepada politik pastinya akan membawa kesan yang lain. Saya tahu di negara maju ada juga yang menyekat mahasiswa mereka terbabit (politik) kerana mereka mahu mahasiswa memberi tumpuan kepada akademik, katanya.
- BERITA HARIAN