Kamalanathan Ahli Parlimen Hulu Selangor yang sah
Mahkamah Pilihan Raya membenarkan permohonan ahli parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan bagi membatalkan petisyen yang difailkan oleh ahli majlis tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azahar Mohamed, yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya berkata petisyen yang difailkan itu adalah cacat kerana tidak mematuhi keperluan mandatori.
Beliau sehubungan itu mengisytiharkan Kamalanathan sebagai ahli parlimen Hulu Selangor yang sah.
Zaid, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri memfailkan petisyen berkenaan pada 24 Mei lalu supaya keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor, 25 April lalu dibatalkan atas alasan ia dicemari rasuah.
Ini dalam bentuk sogokan dan janji kepada pengundi oleh pemimpin BN, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada pengundi sekiranya mereka menyokong Kamalanathan.
Petisyen terhadap Kamalanathan difailkan di bawah Seksyen 10(a), 10(c) dan 10(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1958.
Pada pilihan raya kecil itu, Zaid, pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, PKR Wilayah Persekutuan, kalah kepada Kamalanathan dari MIC dengan majoriti 1,725 undi.
Mengulas keputusan itu, Kamalanathan berkata beliau bersyukur kepada Tuhan kerana mahkamah telah memutuskannya sebagai ahli parlimen yah sah.
"Saya P Kamalanathan, dan saya adalah MP bagi Hulu Selangor," katanya, sambil berikrar akan bekhidmat dengan gigih di kerusi parlimen yang diwakilinya.
Menurut seorang daripada peguamnya, Mohd Hafarizam Harun, penghakiman hari ini membuktikan bantuan kepada sekolah dan RM160,000 kepada peneroka Felda bukan rasuah tetapi sebagai pembangunan di kawasan berkenaan.
Peguam Azhar Azizan Harun yang mewakili Zaid berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.
Katanya, beliau juga mempunyai senarai nama-nama penerima rasuah berkenaan tetapi berpendapat untuk mendedahkannya apabila perkara itu dibawa ke perbicaraan sepenuhnya.
- MALAYSIAKINI