JIM sasar RM500,000 untuk Rayuan Ramadan


Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) mensasarkan kutipan sumbangan RM500,000 untuk menaja 100,000 umat Islam yang kurang bernasib baik untuk berbuka puasa di 14 buah negara.

Ia sempena Program Rayuan Ramadan yang dianjurkannya yang masuk tahun ke-12 sejak inisiatif itu dilancarkan pada tahun 1999.

Pengarah program, Tuan Yaacob Tuan Sof berkata, program itu menaja berbuka puasa dan sedekah kepada mereka yang memerlukan.

“Pada tahun lalu, JIM telah berjaya memperolehi sumbangan melebihi RM170,000 daripada rakyat Malaysia.

“Sumbangan berkenaan telah diagihkan kepada rakyat di 14 negara iaitu Palestin, Mindanao, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Selatan Thailand, Sri Lanka, Afghanistan, Bangladesh, Iraq, Rohingya, Turkestan Timur, Baluchistan dan juga di Malaysia melalui dua institusi iaitu Hidayah Centre (sebuah Pusat Sokongan Saudara Baru) dan Raudhatus Sakinah (sebuah Pusat Bimbingan Remaja Puteri) untuk berbuka puasa bagi 35,000 orang,” katanya dalam satu kenyataan, petang semalam.

“Melalui testimoni yang kami terima, penerima amat-amat bersyukur dengan sumbangan yang mereka terima pada tahun-tahun yang lalu dan mengharapkan ia akan berterusan pada tahun ini dan seterusnya.

“Kami menyeru agar semua rakyat Malaysia untuk turut serta dalam program yang kami jalankan ini dengan menyumbang mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Menurut Tuan Yaacob, sumbangan secara berkelompok juga boleh diusahakan melalui institusi seperti masjid dan surau, rakan-rakan sepejabat, persatuan-persatuan dan sebagainya.

Beliau juga mencadangkan agar sedikit sumbangan mingguan yang diterima oleh masjid setiap hari Jumaat disalurkan kepada program itu.

Katanya, sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, boleh dialamatkan kepada Sekretariat Program Rayuan Ramadan 1431H JIM di talian 03-4108 9669 atau 03-4105 3159 atau sms 019-369 6650 melalui emel ramadhan-qurban@jim.org.my. Juga boleh layari www.rayuan-ramadhan.jim.org.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url