Malaysia No. 139 dunia Ranking FIFA

Skuad bola sepak kebangsaan kini berada di ranking ke-139 dunia dalam senarai terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam.

Ia merupakan kedudukan terbaik buat Malaysia selepas kali terakhir berada pada kedudukan lebih baik iaitu di tangga ke-127 dunia pada Jun 2006, kira-kira empat tahun yang lalu.

Kedudukan ke-139 itu juga adalah yang terbaik sepanjang 2010 selepas Malaysia menduduki tangga ke-159 pada Januari, ke-146 pada Februari, ke-147 pada Mac dan April, ke-146 pada Mei, ke-142 pada Jun dan Julai lalu.

Di peringkat Asia, Malaysia kini menduduki tangga ke-25 tetapi di kalangan negara-negara Asia Tenggara pula, Malaysia masih berada di ranking kelima di belakang Thailand (ke-104 dunia), Singapura (ke-120 dunia), Vietnam (ke-127 dunia) dan Indonesia (ke-135 dunia).

Namun Malaysia tidak mungkin akan terus berjaya melonjak secara drastik bagi memintas Indonesia, Vietnam dan Singapura andai jumlah perlawanan kelas A yang dihadapi skuad kebangsaan masih kurang.

Jika tahun lalu Malaysia mengharungi lapan perlawanan kelas A bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Kenya, China, Arab Saudi, Jordan, Lesotho dan Uzbekistan (dua kali), namun tahun ini baru dua perlawanan dilalui selepas lapan bulan berlalu.

Dua aksi tersebut ialah bertemu UAE (tewas 0-1) di Dubai pada 6 Januari dan bertemu Yemen (menang 1-0) di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 27 Februari lalu.

Andai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mengatur aksi-aksi persahabatan kelas A berdepan pasukan yang lebih tinggi ranking seperti India, Indonesia, Hong Kong, Vietnam dan Singapura, pasti kedudukan Malaysia akan lebih baik selepas ini.

Jika tidak, peluang Malaysia untuk mengumpul sebanyak mungkin mata hanyalah pada Piala AFF Suzuki 2010 Disember depan memandangkan saingan Sukan Asia 2010 November depan tidak dikira untuk pungutan mata ranking FIFA.

Sementara itu, kedudukan 10 pasukan teratas dalam senarai ranking terbaru FIFA semalam langsung tidak berubah dengan juara Piala Dunia 2010, Sepanyol masih menduduki tangga teratas.

Ia diikuti Belanda, Brazil, Jerman, Argentina, Uruguay, England, Portugal, Mesir dan Chile.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url