Top Ad 728x90

Memupuk kekuatan akidah

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CiTU),
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

RAMADAN telah pun memasuki fasa kedua. Keghairahan segelintir umat Islam yang bersesak-sesak memenuhi masjid dan surau pada awal Ramadan sudah mula berkurangan. Di satu sudut lain, kelihatan umat Islam berpusu-pusu ke tapak Bazar Ramadan bagi mencari juadah berbuka dan tidak kurang juga ramai yang mula mengunjungi pusat membeli-belah untuk membuat persiapan hari raya Aidilfitri.

Apa pun dalam kesibukan membuat persiapan, segala perintah dan larangan agama jangan dilalaikan. Untuk sampai kepada matlamat itu, umat Islam diseru agar sentiasa memperkayakan diri dengan ilmu agar tidak terpesong daripada laluan sebenar. Malah suruhan ini adalah antara intipati wahyu pertama daripada surah al-Alaq yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW pada malam 17 Ramadan.

Daripada peristiwa itu, umat Islam mula menyambut Nuzul al-Quran pada setiap kali tibanya tarikh 17 Ramadan. Namun, ia sepatutnya tidak sekadar disambut dengan sesi ceramah dan tazkirah sahaja. Jauh daripada itu, al-Quran perlu dibaca, difahami dan dihayati sebagai petunjuk sepanjang jalan. Ini kerana al-Quran sarat dengan pelbagai panduan hidup di dunia dan akhirat yang mesti dipatuhi oleh setiap individu Muslim.

Sehubungan itu, kebiasaan sesetengah masyarakat yang mengadakan majlis khatam al-Quran pada akhir Ramadan perlu diperelokkan dengan berusaha membaca keseluruhan ayat al-Quran sehingga tamat dan bukan sekadar khatam juz amma sahaja.

Masyarakat Islam juga disaran mencontohi Nabi Muhammad SAW yang sentiasa berakhlak dengan akhlak al-Quran. Lebih-lebih lagi, dalam situasi cemas kerosakan akhlak ummah yang tidak bertepi dewasa ini. Gejala ketirisan akhlak ini dapat dilihat pada segelintir individu Muslim yang tanpa segan-silu makan di khalayak ramai pada waktu siang hari Ramadan. Ada pula yang berbangga dan seronok bercerita tentang segala dosa dan maksiat yang dilakukan termasuk jika tidak berpuasa.

Selain itu, seluruh masyarakat juga sudah muak dengan sajian muka depan akhbar yang sering memaparkan tindakan nekad membuang bayi kerana malu dengan perbuatan zina yang awalnya seronok dilakukan. Malahan, berbagai kempen kesedaran juga nampaknya belum berupaya menyedarkan mereka. Di sinilah wujudnya keperluan mengapa masyarakat Islam perlu kembali berpegang dengan al-Quran dan al-sunnah sebagai satu-satunya mukjizat Nabi SAW yang dapat ditatang hingga ke saat ini.

Perkara ini juga sangat bersesuaian dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Aku tinggalkan bagi kamu dua perkara jika kamu berpegang dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Kitabullah dan Sunnahku".

Pada 17 Ramadan juga berlaku satu lagi peristiwa agung yang sering menjadi bualan masyarakat Islam iaitu Perang Badar. Ia berlaku pada tahun kedua Hijrah dan merupakan detik bersejarah kemenangan tentera Islam pimpinan Nabi Muhammad SAW yang menentang kaum Musyrikin Mekah pimpinan Abu Jahal yang lebih ramai bilangannya.

Peristiwa ini menunjukkan betapa kekuasaan Allah SWT mengatasi segala perancangan manusia. Ia juga jelas memaparkan bagaimana akidah dan keimanan yang teguh menjadi senjata ampuh yang sukar ditewaskan.

Sehubungan itu, kekuatan akidah perlu dipupuk dan dibaja dengan sentiasa memperkukuh keimanan dan ketakwaan kepada Tuhan. Ini kerana kesatuan ummah atas dasar akidah yang satu sahaja mampu menyelamatkan manusia dan berupaya pula menangani pelbagai cabaran mendatang. Mungkin impak daripada ketiadaan satu ummah satu akidah itulah yang menyebabkan Makam Nabi Ibrahim AS, Nabi Yaakub AS dan Nabi Yusuf AS yang terletak di kawasan suci Masjidil Aqsa tidak dapat diziarahi oleh umat Islam kerana telah terjajah sehingga hari ini.

Perkembangan terbaru politik tanah air juga wajar dijadikan sempadan bagi memelihara survival umat Melayu Islam di Malaysia. Jika ada pihak yang sanggup mengenepikan idealisme kepartian dalam memperjuangkan nasib bangsa sendiri, mengapa tidak umat Islam yang memiliki akidah tauhid yang sama bersatu demi agama, bangsa dan tanah airnya sendiri.

Peristiwa Perang Badar juga mengajar umat Islam betapa bilangan yang ramai belum menjanjikan apa-apa jika tidak disertai dengan perancangan yang sistematik dan tersusun. Malah, jika umat Islam terus berbangga dengan kuantiti berbanding dengan kualiti, maka Islam akan terus dihina dan umatnya akan terus melarat di alam buana ini.

Jika umat Islam terus berbangga dengan kegemilangan masa lalu tanpa berbuat apa-apa untuk mengembalikan ketamadunan itu, ia juga memungkinkan Islam akan terus dilabel sebagai pengganas dan pencetus kerosakan kepada dunia.

Walau apa pun ganjaran pengampunan dosa yang disediakan oleh Allah SWT di bahagian kedua daripada Ramadan ini, ia tidak sewajarnya dipersiakan. Ironinya, sebagai manusia biasa, kita sering terdedah melakukan gejala dosa dan maksiat yang terlarang. Maka peluang untuk diampunkan dosa terbuka luas bagi sesiapa yang menyedari rahmat dan kasih sayang Allah SWT, di samping terus melakukan pelbagai ketaatan yang dapat menghapuskan dosa.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90