Mensyukuri nikmat merdeka
Ini kerana hampir kesemua masyarakat bukan Islam di negara ini telah melalui proses sosialisasi tersebut sewaktu kecil, dewasa mahupun selepasnya, baik di kawasan perumahan atau kediaman bersama rakan sekolah dan rakan sekerja serta melalui paparan media mengenai sambutan perayaan Hari Raya selepas berakhir bulan tersebut.
Keunikan bulan Ramadan tahun ini sebagaimana tahun lalu adalah sambutan kemerdekaan yang jatuh dalam bulan ini. Apakah keindahan kemerdekaan yang wajar menjadi renungan oleh kesemua pihak supaya pengertiannya dapat diselami dan menjadi tunggak jati diri serta patriotisme untuk melahirkan pertahanan diri yang menyeluruh dalam kalangan anggota masyarakat?
Apakah erti kemerdekaan hanya perlu diberi pengamatan sewaktu bulan Ramadan atau setiap hari kita harus bersyukur dengan ruang nafas dan bebas daripada sebarang masalah kronik sebagaimana yang sedang dan sering dihadapi oleh beberapa negara lain termasuk negara jiran kita?
Diakui, kita perlu sentiasa berterima kasih dengan nilai-nilai kemerdekaan yang sudah mencecah usia 53 tahun. Kemerdekaan memberi semangat pembinaan negara bangsa sendiri berlunaskan Perlembagaan yang diilham untuk memenuhi ruang demografi dan geografi negara ini.
Pengisian kemerdekaan oleh kepimpinan negara membolehkan pacuan hala tuju membina dan mentadbir urus struktur sistem kenegaraan berbeza dengan negara lain.
Negara merdeka tidak lagi dihambat dengan kebimbangan dan kegelisahan hidup di bawah penjajah tetapi diwarnai dengan pencapaian ke arah memartabatkan pembentukan bangsa kelas satu di negara kelas pertama. Ilmu, kemahiran dan kebolehan yang dimiliki oleh setiap individu yang bergelar warga Malaysia menerokai rahsia kestabilan negara selama ini. Kesemua ini hanya dapat dilakukan sekiranya masing-masing memahami tanggungjawab bukan sahaja ke atas diri dan sekeliling tetapi juga ke atas negara ini.
Pertimbangan sewajarnya perlu diberi ke atas titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sewaktu Mesyuarat Dewan Negeri Perak Ke-147 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Titah baginda: “Malaysia telah memilih sistem berkerajaan berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen dan sistem tersebut dicapai berdasarkan formula persepakatan di antara istana dan rakyat, masing-masing ada peranan tertentu terutama dalam suasana yang genting dan kritikal yang memberi satu perimbangan peranan dan perimbangan kuasa demi menjamin kesejahteraan warga dan kestabilan negara”.
Kenyataan itu seiring dengan pentadbiran berasaskan permuafakatan yang terbina sejak sekian lama yang membawa perubahan dan nilai budaya baru dalam masyarakat. Istana, parti politik dan masyarakat awam mempunyai hubungan resiprokal yang saling balas membalas dalam mempertahankan pengisian ke atas kemerdekaan negara ini.
Justeru, sudah pasti sempena bulan Ramadan ini, kesemua pihak termasuk pemimpin dan parti politik mana-mana ideologi sekalipun mesti merenung semula pengisian dan melahirkan tanda bersyukur dalam menikmati ruang kehidupan yang masih baik berbanding dengan ketika kita mendapat kemerdekaan dahulu.
Keganasan dan pembunuhan yang berlaku di Rwanda, Sri Lanka, Palestin mahupun beberapa negara maju tidak berlaku di sini. Ada yang melihat ini sebagai satu keajaiban tetapi ada pula melihat ia sebagai satu keunikan. Hubungan etnik ada pasang surutnya dan tidak dinafikan ada yang melihatnya bersifat retorik semata-mata, apatah lagi akhir-akhir ini kita melihat wujudnya segolongan anggota masyarakat yang memaparkan sifat perkauman fanatik secara terbuka.
Yang penting adalah perlu ada nilai kejujuran diperkukuhkan dengan nilai-nilai hormat, faham dan menerima seadanya. Justeru, apa yang boleh dilakukan sempena bulan mulia ini adalah bukan untuk menguatkan nilai etnosentrik dan sifat saling curiga mencurigai atau syak wasangka antara satu sama lain, tetapi mengurangkan nilai ekstremis yang kini bukan berpaksikan pada agama mahupun kepercayaan tetapi menjurus kepada pegangan ideologi politik.
Nafsu politik sanggup menggadai nilai bangsa dan kenegaraan kerana rakus mahu berkuasa, mengabaikan citra hubungan antara etnik yang terbina sejak sekian lama sehingga berlarutan dalam bulan Ramadan tanpa mahu menghormati signifikasi bulan tersebut serta erti kemerdekaan. Terlalu cenderung untuk berpolitik boleh menyebabkan proses kematangan berpolitik dipenuhi dengan elemen emosi dan provokasi.
Generasi hari ini memerlukan keutuhan diri untuk bersaing dengan dunia luar. Yang mahu dilihat adalah bangsa yang progresif dengan pengisian ke atas dasar dan polisi yang dibuat oleh kerajaan.
- UTUSAN