Top Ad 728x90

,

Merdeka untuk apa?


Pada bulan Ogos tiap-tiap tahun, bendera Malaysia akan berkibaran di suluruh negara, suatu ekspresi semangat patriotik anak Malaysia. Di tepi bangunan, di atas kereta, di depan rumah, bendera ini simbolik akan kami merayakan kebebasan kami sebagai negara yang sudahpun mencapai kemerdekaan.

Pada saya, 31 Ogos 1957 merupakan detik paling penting dalam sejarah tanahair. Tanpa perjuangan Allahyarham Tunku Abdul Rahman, hidup kami akan amat berlainan sekali.

Siapa boleh bayangkan Malaysia di 2010 yang masih dijajah kuasa luar? Adakah kami akan dibenarkan untuk memilih jalan hidup sendiri? Hidup mengikut budaya bangsa? Mencipta undang-undang sendiri? Kemungkinan besar penduduk Malaysia tidak punya banyak pilihan, dan pilihan ialah asas kebebasan.

Saya sempat bersembang dengan seorang pelakon tambahan dari Bosnia tempoh hari. Katanya sejak akhirnya perang di negaranya itu, orang luar telah datang, mengambil alih kerajaan dan mencipta undang-undang baru.

Undang-undang seperti : Untuk penduduk Bosnia meminda atau mencipta undang-undang, mereka perlu mendapat persetujuan dari tiga bangsa utama Bosnia iaitu Bosnia, Serb dan Croat.

Seperti mana kami di Malaysia boleh bayangkan, betapa susahnya untuk mendapat persetujuan majority apatah lagi dari 3 kaum yang dah berperang sekian lama. Jadi kebebasan untuk penduduk Bosnia mencipta undang-undang mereka dikunci oleh kuasa luar.

Kami di Malaysia mempunyai kebebasan untuk memilih jalan hidup, tapi masalah di sini ialah bila dan bebas dan mempunyai pilihan, ramai tidak tahu apa yang ingin dibuat dengan kebebasan itu.

Bila ditanya pemuda-pemudi tanahair apa itu Merdeka, jawapan yang paling biasa didengar ialah 'Bebas dari dijajah'. Itu betul, negara yang merdeka memang negara yang bebas dari jajahan. Tapi itu merdeka daripada sesuatu. Soalan yang lebih bermakna ialah merdeka untuk apa?

Merdeka untuk mengejar impian. Bebas untuk menjalani hidup mengikut adat resam sendiri. Bebas untuk memilih jalan hidup sendiri. Bebas untuk mengekspresi keunikan diri. Bebas untuk mencipta sesuatu biar baik atau buruk. Malangnya, bebas juga untuk membuat perkara yang tidak berfaedah, perkara yang memudaratkan.

Sebenarnya itulah asas kemerdekaan. Dengan kebebasan datangnya tanggungjawab. Kalau kita tidak punya kebebasan, kita tidak perlu runsing kerana bila tiada pilihan, tiada tanggungjawab, tetapi bila kita miliki kebebasan, kita perlu menanggung kesan dari tindakan kita sendiri. Seperti mana kita bebas untuk mencipta hidup yang indah, kita juga bebas untuk menghancurkan hidup kita dan orang di sekeliling kita.

Pada umur 53 tahun, Malaysia masih negara yang muda. Terlalu banyak peluang dan kemungkinan untuk kita cipta dan gunakan. Kita negara yang aman dan kaya dengan sumber semulajadi.

Akan tetapi, saya sedih bila saya dengar berita. Kes mencuri, menyamun, korupsi, rasuah, buang bayi, rogol anak sendiri dan lain-lain gejala sosial adalah antara contoh penyalahgunaan kebebasan kita ini. Setiap manusia berhak memilih jalan hidupnya sendiri asalkan dia tidak menyusahkan kehidupan orang di sekelilingnya.

Jadi, pada moyang kita yang telah berjuang untuk kemerdekaan negara ini, jutaan terima kasih saya ucapkan kerana berjuang untuk kita anak Malaysia. Saya nekad, saya akan gunakan kebebasan ini untuk mencipta sesuatu yang berguna untuk tanahair yang ku cinta ini.

Jehan Miskin seorang pelakon, penerbit dan pengacara yang tahu hidupnya tak mungkin begitu indah tanpa kemerdekaan negara 31 Ogos 1957.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90