Top Ad 728x90

,

Soal Jawab Agama : Aidilfitri, Aidiladha ada fadilat tersendiri

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

Soalan:

Saya ingin tahu, antara Aidilfitri dan Aidiladha mana lebih utama?

Jawapan:

ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Dan supaya kamu bertakbir (membesarkan Allah) kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” Menurut Tafsir Ibnu Kathir ayat ini berkenaan pensyariatan Takbir Aidilfitri.

Dalam ajaran Islam hanya ada dua hari besar yang disebut dalam hadis Nabi SAW, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Malah, kedua-duanya agung atau penting. Kita mungkin boleh mengatakan Aidilfitri adalah hari raya peletakan batu asas pertama bangunan ajaran Islam kerana ia diadakan sesudah Ramadan iaitu wahyu pertama diturunkan pada bulan itu.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat-185 yang bermaksud: “Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah.”
Aidiladha pula adalah peletakan batu yang terakhir bangunan Islam kerana pada tarikh 9 Zulhijjah, iaitu sehari sebelum Aidiladha, turun ayat yang dinilai banyak oleh ulama sebagai wahyu terakhir.

Ini seperti firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: “Pada hari ini , Aku sudah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku sudah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku sudah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Atas dasar itu, amat sukar untuk kita menentukan yang mana antara kedua-duanya lebih utama. Memanglah ada hadis Rasulullah SAW yang menyebut bahawa syaitan tidak pernah dilihat sebagai kecil dan hina sepanjang tahun seperti berlaku pada Hari Arafah (kecuali pada hari kekalahan kaum musyrik dalam Perang Badar).

Namun demikian, banyak juga yang menyebut mengenai keistimewaan Ramadan, bahkan al-Quran memuji bulan ini sebagai bulan yang istimewa kerana di sana ada malam yang penuh berkat iaitu malam Lailatulqadar.

Justeru, ada sesetengah tempat seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan lain-lain yang menyambut Aidilfitri lebih besar daripada Aidiladha. Negara lain pula seperti masyarakat Arab di Asia Barat meletakkan Aidiladha lebih besar daripada Aidilfitri.

Mungkin jugalah kita di Malaysia merayakan sedemikian kerana berasakan sudah memperoleh kebebasan selepas berjaya menahan nafsu selama sebulan demi kerana Allah SWT. Mungkin juga masyarakat Arab di Asia Barat membesarkan Aidiladha kerana menilainya yang turut dikenali Hari Raya Haji sebagai kesempurnaan agama.

Wallahua’lam.

- BERITA MINGGU

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90