Penunggang dinasihat naik bas, kereta api

Para penunggang motosikal disaran menggunakan pengangkutan awam seperti bas atau kereta api untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi bagi mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kes kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal semakin meningkat terutama pada musim perayaan.

Tambah beliau, berdasarkan statistik pada 2009, penunggang dan pembonceng motosikal merupakan penyumbang terbesar terhadap jumlah kes kemalangan maut.

"Pada tahun lalu, 60 peratus daripada 6,218 kes kemalangan maut melibatkan penunggang serta pembonceng motosikal.

"Justeru itu, saya menggesa penunggang motosikal menunggang dengan berhemah semasa pulang ke kampung, patuhilah undang-undang dan sentiasa memastikan motosikal dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Keselamatan Balik Kampung Yamaha Ke-12 di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh; Pengarah Urusan Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd., C.H. Ng; Pengarah Urusan Aeon Credit Sdn. Bhd., Yasuhiro Kasai; dan Pengurus Besar KHI Helmets Sdn. Bhd., Thomas Lee.

Kempen anjuran Persatuan Penjual Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA) itu bertujuan mendedahkan serta mendidik semua penunggang motosikal mengenai budaya menunggang motosikal dengan selamat dan memberi keutamaan kepada penjagaan kenderaan.

Sementara itu, Cho Ha berkata, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.

Katanya, faktor paling utama adalah sikap pengguna jalan raya itu sendiri yang tidak sabar dan tidak berhemah ketika memandu.

"Menerusi kajian tersebut, faktor manusia adalah penyumbang terbesar kepada berlakunya kemalangan iaitu 67 peratus manakala keadaan jalan raya serta kenderaan masing-masing 28 dan lima peratus," jelasnya.

Bagaimanapun, menurut Cho Ha, peratusan kadar kecederaan serta kematian akibat kemalangan jalan raya telah menurun berbanding pada tahun 2004.

"Ini menunjukkan strategi kerajaan dalam memberikan pendidikan serta pendedahan dalam usaha mengubah sikap pengguna jalan raya telah memberikan impak yang positif," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url