Abdullah menasihati anak saudaranya
Pada suatu hari, anak saudara Abdullah bin Mughafal bermain di luar rumah. Semasa anak saudaranya asyik bermain, Abdullah ternampak anak saudaranya cuba melastik seekor burung.
"Siapa yang mengajar anak saudara saya melastik burung ini?" bisik Abdullah bin Mughafal seorang diri.
Anak saudaranya asyik bermain lastik itu. Tidak henti-henti dia melastik burung yang hinggap di atas pokok yang terdapat di kawasan itu.
Kemudian Abdullah datang menghampiri anak saudaranya yang bermain itu. Beliau berkata kepada anak saudaranya, "Berhentilah bermain permainan ini. Carilah permainan yang lebih baik daripada melastik. Nabi Muhammad tidak suka orang yang bermain permainan ini."
Anak saudaranya menjawab, "Salahkah saya bermain permainan ini? Saya suka permainan ini."
"Kamu tidak boleh melastik burung sesuka hati kamu. Burung ini makhluk Allah juga," kata bapa saudaranya itu.
"Kasihanlah kepada burung itu. Ia baru sahaja mendapat anak. Cuba kamu lihat sarang burung itu," kata Abdullah sambil tangannya menunjukkan ke arah sarang burung itu.
"Anak-anak burung itu menunggu ibunya di sarang. Ibunya mencari makanan bagi anak-anaknya. Sekiranya ibu burung itu mati semasa mencari makanan, bagaimanakah anak-anaknya yang masih kecil itu mahu makan? Mahukah kamu lihat anak-anak burung itu mati kelaparan?"
Abdullah bin Mughafal cuba mengalih perhatian anak saudaranya itu daripada terus melastik burung.
Anak saudaranya yang masih kecil tidak mengendahkan kata-kata Abdullah. Dia terus melantunkan batu kecil ke arah burung itu.
Abdulah bin Mughafal berkata lagi, "Nabi Muhammad melarang kita bermain permainan ini. Malah, melastik burung adalah kesalahan. Kamu menyeksa burung itu kerana ia tidak akan mati hanya dengan permainan ini. Sekiranya terkena mata orang lain, matanya boleh jadi buta. Sekiranya terkena gigi orang lain, giginya boleh patah."
Anak kecil itu mendengar penjelasan Abdullah. Oleh kerana takut diperhatikan oleh bapa saudaranya, dia berhenti seketika daripada bermain. kemudian, Abdullah bin Mughafal berlalu meninggalkan anak saudaranya seorang diri.
Nasihat yang diberikan oleh Abdullah bin Mughafal tidak dihiraukan. Dia meneruskan permainannya.
"Bapa saudara saya sudah tiada di sini. Lebih baik saya bermain semula lastik ini. Untung-untung saya dapat melastik burung itu," bisiknya sendirian.
"Siapalah kamu burung. Pasti lantunan saya ini terkena lastik saya ini," kata anak saudaranya yang asyik melastik burung itu.
Kelihatan burung itu berterbangan tidak tentu hala kerana mengelak daripada terkena batu lastik itu. Kedengaran juga bunyi batu terkena dahan pokok itu.
"Tidak kena lagi. Saya mesti melastik burung itu dengan lastik ini. Kali ini burung itu pasti jatuh ke bumi," kata anak kecil yang geram melihat burung itu.
Anak saudaranya tetap bermain permainan itu. Tidak lama kemudian, bapa saudaranya datang semula ke tempat permainannya itu.
"Mengapa kamu masih bermain permainan ini?" tanya Abdullah dengan nada suara yang tinggi.
"Saya...saya... tersekat-sekat suara anak saudaranya menjawab, tetapi disebabkan takut kepada bapa saudaranya, lalu anak saudaranya dia seribu bahasa.
"Bukankah saya memberi amaran kepada kamu mengenai bahayanya permainan ini? Kamu memang tidak mahu mendengar nasihat saya!" kata Abdullah bin Mughafal dengan suara yang tinggi.
Anak saudaranya hanya berdiam diri apabila dimarahi oleh bapa saudaranya itu. Kemudian Abdullah bin Mughafal berkata lagi, "Mulai hari ini, saya tidak mahu menegur atau bercakap dengan kamu lagi. Kamu melanggar suruhan dan perintah yang diajar oleh Nabi Muhammad. Sekiranya kamu sakit atau hendak mati sekalipun, saya tidak akan datang melawat kamu."
Kemarahan Abdullah bin Mughafal tidak dapat dibendung lagi kerana sikapnya yang tidak mahu mendengar nasihatnya itu. Memang permainan melastik ini disukai oleh kanak-kanak. Namun, permainan ini dilarang oleh Nabi Muhammad kerana mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.
- UTUSAN