Top Ad 728x90

,

Projek Bakun sejak 60-an, Mula beroperasi Mac 2012


Empangan Hidroelektrik Bakun sebenarnya bukan projek baru. Ia telah bermula pada tahun 1960-an melalui kerja-kerja mengukur tanah dan kajian diteruskan pada tahun 1980-an.

Kajian tersebut merangkumi pelan induk dan upayabina; kajian batuan dan tanah; kajian janaan hidro; reka bentuk empangan; kajian alam sekitar dan sosio-ekonomi dan kajian talian penghantar.

Projek itu telah mulakan pada 1986, tetapi dihentikan pada 1990 berdasarkan unjuran merosot kegunaan elektrik disebabkan kemelut ekonomi 1985 dan keputusan membangunkan dahulu industri gas asli negara.

Projek berkenaan diteruskan semula oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 1993.

Pada Januari 1994, ia diswastakan kepada Bakun Hydroelectric Corporation, iaitu syarikat usahasama Ekran Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Kerajaan Sarawak, Syarikat SESCO Berhad dan Malaysia Mining Corporation Berhad.

Bakun Hydroelectric Corporation telah memberi kontrak elektrikal, mekanikal dan penghantaran kepada ABB. Baberapa pakar runding yang terlibat ialah Snowy Mountain Engineering Corporation, TNB Hydro (anak syarikat Tenaga Nasional Berhad) dan KLIA Consult.

Bagaimanapun, ia terhenti akibat kemelut ekonomi 1997.

Pada Mei 2000, Kerajaan Malaysia telah mengambil alih projek dengan membeli kepentingan Bakun Hydroelectric Corporation dan meneruskan projek melalui syarikat milik kerajaan, Sarawak Hidro Sdn. Bhd. (SHSB).

Hanya pembinaan Empangan Bakun diteruskan dan kerja pembinaan ditawarkan melalui kontrak 'turnkey'. Pembinaan talian penghantar bawah laut tidak akan dilaksanakan.

Kontraktor baru ialah Malaysia-China Hydro JV Consortium, iaitu syarikat usahasama Sime Engineering Berhad, iaitu anak syarikat Sime Darby Berhad dan Sino-Hydro Corporation dari China.

Harga kontrak sivil adalah RM1.8 billion. Kerja elekromekanikal diberi pada satu kontrak kepada IMPSA dari Argentina dan satu kontrak lagi kepada Alstom dari Perancis.

Pembinaan Empangan Bakun turut dikaitkan dengan kerosakan alam sekitar, terutama hutan, sungai, tanah dan hidupan liar.

Empangan Bakun pernah didakwa golongan antiempangan atau antihidroelektrik menjejaskan lebih 800 spesies tumbuhan, termasuk 67 spesies yang dilindungi, 104 spesies ikan, 229 mamalia dan 43 spesies burung dilindungi, memusnahkan 50 juta meter padu pelbagai jenis kayu balak dan menjejaskan lebih 10,000 penduduk di sekitarnya.

Mula beroperasi Mac 2012

Setelah pelbagai halangan dan rintangan, akhirnya Empangan Hidroelektrik Bakun kini hampir 100 peratus siap dan sedia untuk diuji sebelum mampu beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan.

Empangan yang terletak di Sarawak, khususnya di Bakun jauhnya dari Bintulu kira-kira 185 kilometer (km) dan jauh dari bandar raya Miri ialah kira-kira 300 km serta dari Long Segaham kira-kira 50 minit menggunakan jalan air.

Empangan yang mengempangi Sungai Balui merupakan empangan batu dilitupi konkrit (CFRD) yang kedua tertinggi di dunia.

Mempunyai ketinggian 205 meter, ia juga adalah kedua terbesar di Asia selepas empangan Shibiyanu China yang setinggi 223 meter.

Dinding empangan tersebut juga direka bentuk untuk bertahan selama 100 tahun dengan menggunakan batu yang disusun berlapis sebanyak 16.9 bilion kubik meter.

Empangan itu sepanjang 643 meter yang dibina di atas kawasan jeram Bakun sesuai dengan namanya.

Malah ia dikuatkan lagi dengan penggunaan lebih 12 juta kilogram simen untuk memastikan ia kukuh.

Empangan itu akan mengumpul air dari kawasan tadahan seluas 14,750 km persegi atau seluas Kelantan yang mengambil keluasan 11 peratus keluasan Sarawak.

Projek Empangan Hidroelektrik Bakun kini sedang menunggu kelulusan kerajaan negeri Sarawak untuk kerja-kerja menakung air bagi tujuan pengujian turbin.

Pengarah Urusan Sarawak Hidro Sdn. Bhd. (SHSB), Ir. Zulkifle Osman berkata, sehubungan itu pihaknya berharap kelulusan diberikan segera sebelum kerja-kerja menakung air dilaksanakan.

Tempoh tujuh bulan diperlukan untuk menakung air bagi mencapai paras minimum untuk menjalankan ujian terhadap turbin nombor lapan yang dipasang pada empangan tersebut.

''Insya-Allah, kita akan tahu keputusan setelah semua maklumat berhubung persediaan kita di serahkan kepada kerajaan negeri," kata Zulkifle pada taklimat dan lawatan media di Projek Empangan Hidroelektrik Bakun baru-baru ini.

Beliau berkata, projek empangan Hidroelektrik Bakun sebenarnya masih belum ditentukan kos secara tepat cuma anggarannya pada RM7 bilion sehingga RM7.3 bilion.

Ini kerana katanya, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi membentangkan segala kos kerana ada kos yang boleh dimasukkan dalam jumlah itu dan ada juga yang tidak boleh dimasukkan.

''Kos sebenar kita anggarkan dalam jumlah itu (RM7 bilion hingga RM7.3 bilion) seperti mana yang dilaporkan dalam Parlimen," katanya.

Beliau juga memberitahu projek tersebut tidak mengalami kelewatan namun jika ia beroperasi sepenuhnya pada Mac 2012, maka kosnya akan mencecah RM7.3 bilion.

Pada satu soalan berhubung kadar tarif yang akan dijual, Zulkifle berkata ia masih dalam perbincangan dan besar kemungkinan kadar tersebut akan diketahui pada Disember ini.

SHSB mengambil alih projek tersebut daripada Menteri Kewangan. Diperbadankan dan meneruskan kontrak pembinaan empangan tersebut pada tahun 2003.

Jika empangan Hidroelektrik Bakun beroperasi sepenuhnya, ia yang mempunyai lapan turbin dengan kuasa setiap satu sebanyak 300 Megawatt (MW) mampu menjana bekalan elektrik sebanyak 2,400 MW.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90