Borak Pak Nil - Kian pergi

Oleh Aznil Hj Nawawi

ASSALAMUALAIKUM.

Jika tiada aral melintang dan insya-Allah, umat Islam Malaysia menyambut 1 Syawal pada Jumaat ini bersamaan 10 September 2010. Ini bermakna ada lebih kurang empat hari saja lagi kita berpuasa. Ini juga bermakna Ramadan akan mengucapkan selamat tinggal dan belum tentu lagi kita akan mengecapi bulan mulia ini pada tahun depan.
Sememangnya kita rasa sukar untuk melepaskan bulan penuh kemuliaan ini tetapi inilah hakikat yang perlu kita tempuhi. Paknil tertanya-tanya cukupkah amalan yang sudah dilakukan sepanjang bulan ini untuk menjadi bekalan nanti? Sememang jawapannya tidak akan pernah cukup dan kita pasti menyesal kerana tidak memenuhi ruang hari di bulan Ramadan ini sebaik mungkin.

Namun kita juga harus menyambut bulan kemenangan untuk meraikan mereka yang berjaya melalui sebulan ujian berpuasa seperti yang diwajibkan oleh Allah SWT. Hari yang dinantikan ini pasti disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Ketika ini kita akan kunjung-mengunjungi dan bermaaf-maafan. Inilah dia hikmah yang ada pada takwim Islam. Setiap bulan mempunyai signifikannya tersendiri.

Namun keindahan Ramadan umpamanya, sering kita tukarkan dengan perkara yang mengerikan dan menyimpang dari tuntutan agama. Bulan yang seharusnya kita belajar mengawal nafsu makan, menjadi lebih hebat di bulan ini rupanya. Kita lebih banyak berbelanja pada makanan yang akhirnya kita tidak sentuh. Ada juga ketika ini, berat badan kita bertambah daripada sebelum puasa. Gara-gara makan malam yang tiada henti sejak mula berbuka sehinggalah waktu Imsak.

Ketika ini, mereka rasakan seperti ‘membalas dendam’ pula pada waktu ketika mereka berpuasa di siang hari. Maka ketika ini ada saja benda yang ingin dikunyah sehinggakan ada yang merencanakan agenda bersahur yang sama hebat dengan waktu berbuka. Paknil bersyukur kerana diberikan tugasan seawal 5.30 pagi di konti Era. Jadi, Paknil akan tidur awal sebaik selesai menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersendirian dan bangun pada jam 4 pagi. Namun Paknil mengambil kesempatan untuk mengaut pahala bersahur dengan hanya meminum air coklat panas.

Bila tidur awal, secara tidak langsung nafsu makan Paknil dapat dibendung dan pada waktu yang sama Paknil dapat bersahur secara ala kadar sekadar mengalas perut dan memenuhi syarat.

Ramadan juga seharusnya mengajar kita untuk banyak beribadah di sebelah malam dengan Qiamullail dan juga bermunajat di dini hari. Namun cukup sedih apabila Paknil terbaca kisah anak-anak muda yang ditangkap khalwat ketika kita bersemangat untuk menyambut hari kemerdekaan baru-baru ini. Mereka hanyut dalam kerakusan nafsu serakah sendiri. Ini sekali gus mencemar kemuliaan Ramadan.

Keindahan bulan puasa ini juga seolah menjadi trend kepada kejadian kemalangan akibat bermain mercun dan meriam buluh buatan sendiri. Seorang demi seorang mangsa dilaporkan dan dikejarkan ke hospital kerana kecederaan parah. Ada yang buta terkena serpihan letupan dan begitu juga dengan jari yang terputus serta hancur gara-gara mengingkari undang-undang negara. Seperti satu perkara wajib pula yang akan berlaku setiap kali tiba Ramadan. Seingat Paknil ia pasti akan berlaku sejak zaman Paknil kanak-kanak dulu lagi.

Ruginya, anak-anak kita menjadi mangsa mercun sehingga daripada status normal terpaksa ditukar menjadi OKU. Dilahirkan sempurna sifat tetapi akhirnya menjadi cacat di tangan sendiri. Ketika ini, menangis air mata darah sekalipun sudah tidak bermakna. Anak bangsa yang awalnya dijangka bakal menjadi aset negara, kini bertukar kurang produktif.

Seringnya kanak-kanak yang menjadi mangsa. Paknil terfikir di mana peranan orang dewasa dalam menangani masalah ini? Di mana mereka ketika anak-anak ini bermain mercun sedangkan orang dewasa lebih arif mengenai hukuman yang bakal dikenakan seandainya mereka tertangkap. Paknil hairan di mana ibu bapa kanak-kanak ini ketika kejadian berlaku dan tidakkah anak-anak ini diawasi ketika bermain bersama kawan-kawan?

Sudah lumrah kanak-kanak begitu teruja untuk mencuba sesuatu yang di luar jangkaan bahaya mereka dan mereka juga dikurniakan dengan sifat ingin tahu yang mendalam. Ibu bapa seharusnya mengawasi kegiatan anak mereka. Lebih menyedihkan, bila ada pula orang dewasa yang turut serta menyemarakkan lagi semangat kanak-kanak ini untuk mencuba.

Paknil sering terdengar orang dewasa tanpa segan silu berkongsi cerita pengalaman ketika kecil bermain mercun dan membuat meriam buluh. Ada yang merasakan diri mereka seperti hero sebab terlepas dari bahaya letupan dan berjaya menyemarakkan lagi malam di bulan puasa. Tentunya anak-anak yang mendengar turut sama teruja untuk melakukan perkara yang sama.

Lebih sedih pula bila ayah sendiri yang membelikan mercun untuk anak bermain. Mereka lupa mercun itu sebenarnya bukanlah alat permainan. Paknil sedih bila ada bapa yang menyimpan bahan letupan ini dengan jumlah yang banyak sehingga berlaku ledakan yang meragut nyawa anak sendiri.

Anak-anak ini sepatutnya diberikan informasi yang khusus mengenai bahayanya bermain mercun dan seharusnya dilindungi, bukannya dibawa bersama ke tempat mercun disimpan.

Menjelang Hari Raya pula, Ramadan yang mulia ini dicemari dengan gelagat boros. Walaupun ada di antara kita yang mendapat bonus Hari Raya yang bakal menjelang tetapi itu tidak bermakna kita harus berbelanja sehingga poket tidak berbaki lagi. Lebih malang bila ada yang begitu berani untuk berhutang untuk memuaskan nafsu membeli-belah.

Alasan ‘setahun hanya sekali’ ini, selalu digunakan untuk menghilangkan rasa bersalah mereka dan menghalalkan perbuatan berbelanja secara berlebihan. Dalam memegang iltizam berbelanja atas tiket ‘setahun sekali’ itu, akhirnya ada yang memakan diri sendiri. Hutang keliling pinggang dan masalah perbelanjaan sekolah anak-anak selepas turut terganggu.

Ketika ini, mata kita sudah dikaburi untuk berhari raya dengan segalanya serba baru kerana yang penting hati dan perasaan mereka turut berbunga bila tiba Hari Raya. Oleh kerana itu perabot rumah berganti baru diikuti padanan langsir yang saling melengkapi. Begitu juga dengan kuih-muih yang banyak dibeli itu perlu dilengkapi dengan balang kuih yang canggih walaupun hanya digunakan setahun sekali.

Itu belum lagi masuk bab membeli kereta baru kerana ketika inilah mereka mahu pulang bergaya ke kampung masing-masing. Bila membeli kereta baru, maka hutang di bank akan kembali menjadi baru juga sedangkan sebelum ini hutang kereta yang lama hampir-hampir selesai dilunaskan. Ini bermakna perjalanan hidup dengan hutang kereta ini akan berterusan dan akan terus menekan perbelanjaan mereka selepas perayaan berlalu.

Namun Ramadan yang seharusnya menjadi bulan untuk kita menginsafi kehidupan dan sejarah perjuangan dalam Islam ini turut diragut dengan cerita umat Islam yang ramai terbunuh bukan di medan perang, tetapi di jalan raya. Pelbagai kaedah diperkenalkan polis untuk menangani masalah kemalangan yang berganda bila tiba musim perayaan.

Paknil ingin mencabar diri dan pembaca semua untuk memulakan kempen di dalam diri kita sendiri untuk memandu penuh hemah. Bila kita bertekad untuk memastikan kempen keselamatan, cara kita ini berjaya, maka kita akan lebih berhati-hati.

Satu cara lain yang Paknil ingin syorkan pada semua yang ingin memulakan perjalanan jauh agar duduk berbincang sesama kawan atau ahli keluarga akan cara mengawal pemanduan. Contohnya di tempat kerja. Rakan sepejabat boleh mengusahakan perbualan di antara kumpulan rakan yang kecil akan pentingnya pemanduan berhemah ini diamalkan. Senaraikan perkara yang patut dan tidak patut dilakukan ketika memandu untuk pulang ke kampung.

Sikap ingat mengingati atas inisiatif sendiri ini sebenarnya akan lebih melekat di ingatan dan lebih berkesan.

Paknil ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bercuti kepada semua dan semoga Hari Raya kali ini lebih bermakna kepada kita semua. Selamat Hari Raya dan maaf zahir batin.

Wassalam.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url