Kekal tradisi lama kad raya


Dalam kerendahan hati,
ada ketinggian budi
Dalam kemiskinan harta,
ada kekayaan jiwa
Dalam kelembutan lidah,
ada juga ketelanjuran kata
Dalam gurau senda tentu
ada khilaf dan dosa

Tiada bulan seindah Ramadan
Untuk itu izinkan kedua tapak tangan bertaut
Memohon maaf
Untuk indah yang terlanjur

Janji yang terabai
Hati yang berprasangka
Semua sikap yang menyakitkan
Dan semua kesilapan yang tidak disedari

Terdengar takbir Syawal tersedu
Insan bersalam penuh ceria

Saya di sini menumpang lalu
Mengucap salam lebaran mulia

Begitulah antara kata-kata indah yang lazimnya menjadi pengganti diri pada setiap kad raya dikirim kepada insan tersayang sempena lebaran.

Mungkin di zaman serba canggih dan dunia tanpa sempadan kini tidak ramai menjadikan kad raya sebagai pengganti diri tetapi lebih menjurus kepada e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam menyampaikan ucapan Aidilfitri.

Peralihan kepada penggunaan teknologi maklumat itu dikatakan lebih mudah serta menjimatkan, menyebabkan tidak ramai menggunakan kad raya.

Bagaimanapun, dapat kita lihat insan yang masih menggunakan tradisi lama iaitu menjadikan kad raya sebagai pengganti diri kerana dikatakan mempunyai lebih nilai sentimental berbanding kiriman teknologi maklumat itu.

Ditambah pula jika kad raya itu dihasilkan secara lebih kreatif dari segi reka bentuknya dan juga dibuat secara eksklusif mengikut cita rasa si pengirim.

Di atas kesedaran itu, muncul seorang gadis kreatif menghasilkan kad raya menarik mengikut kreativitinya dan juga diolah mengikut perkembangan zaman,
Noorfaizyan Abd Musa, 24, yang kini mengusahakan perniagaan secara online dengan memasarkan kad raya buatan tangannya dilihat mampu menampung permintaan bagi kelompok yang masih mahu menggunakan kad sebagai pengganti diri berbanding e-mel dan juga SMS di musim perayaan Aidilfitri.

“Saya tidak nafikan kini ramai menggunakan kelebihan teknologi maklumat yang lebih cepat dan murah untuk menggantikan kad raya, tetapi saya dapati masih ramai juga mahu menggunakan kad raya lagi.

“Ini saya dapat lihat apabila menerima banyak tempahan dan pelanggan saya dari pelbagai peringkat lapisan umur kerana mendakwa kiriman kad lebih mendekatkan mereka berbanding kiriman Internet atau SMS,” katanya.

Menurutnya, selain mempunyai nilai sentimental melalui kiriman kad raya itu, ramai membuat tempahan kerana mahukan hasil rekaan secara eksklusif yang dihasilkannya berbanding kad raya biasa di pasaran.

Gadis berasal dari Krubong, Melaka itu berkata, idea untuk komersial kad raya buatannya bermula apabila mendapat permintaan daripada rakan rapatnya sebelum dia mengambil keputusan memasarkan secara lebih luas melalui online dengan mewujudkan blognya, lovelyhandmadecards.blogspot.com sejak 2008.

Bermula detik itu, ciptaannya yang mulanya hanya sebagai hobi menjadi pendapatan sampingan kerana mendatangkan pulangan baik kepadanya.

“Sebenarnya, saya menghasilkan kad kreatif ini bermula sebagai hobi kerana memang minat menghasilkan sesuatu daripada kertas berwarna-warni,” katanya.

Mengenai kerja menyiapkan sesuatu rekaan kad raya itu, gadis yang mesra dengan panggilan Yann itu berkata, dia biasanya mengambil masa selepas waktu kerja atau cuti hujung minggu sambil dibantu adiknya, Nurhayati Abd Musa.

Menurutnya, dia biasanya mengambil masa sehingga dua hari untuk menyiapkan kad raya berkenaan kerana memerlukan penelitian, dia tidak tergesa-gesa menyiapkan sesuatu tempahan bagi menjamin kualiti kad dan memenuhi cita rasa seperti dikehendaki pelanggan.

Mengenai tempahan pula, kad dihasilkannya berjaya mendapat perhatian ramai dan ada menerima tempahan dari seluruh negara dan turut pernah menerima tempahan daripada rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.

Menurutnya, harga kad ciptaannya berpatutan iaitu antara RM7 hingga RM16 sekeping tetapi bergantung kepada saiz, bahan dan corak digunakan selain jumlah tempahan.

Katanya, pelanggannya boleh membuat tempatan menerusi blog dan memilih corak serta saiz bagi memudahkan pilihan dibuat mengikut cita rasa masing-masing.
“Pada masa depan saya merancang memperluas dan membesarkan usaha dibuat itu. Saya merancang mengambil pembantu bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Selain menghasilkan kad raya, Yann membuat kad ucapan untuk perayaan lain dan sambutan khas, termasuk ulang tahun kelahiran serta penanda buku.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url