Hanya 24 acara Sukma
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong berkata langkah mengehadkan bilangan jenis sukan pada temasya itu bagi mengelak penganjur dibebani dengan masalah kewangan.
“MSN memperuntukkan hanya RM3 juta untuk SUKMA edisi pertama di Kuala Lumpur pada 1986 tetapi tuan rumah Melaka membelanjakan lebih RM34 juta untuk edisi ke-13 pada Julai lalu,” katanya, semalam.
Sebelum itu, Zolkples membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Sukan Malaysia Sebagai Pemangkin Kepada Pembangunan Sukan di Malaysia’ pada Seminar Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA).
Seminar dua hari itu bertujuan melicinkan aturan SUKMA selepas Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) pada Mei lalu memutuskan bahawa temasya tersebut diadakan setiap tahun, berselang seli di antara MSN di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil dengan negeri-negeri.
SUKMA 2011 akan dikelolakan oleh MSN di Bukit Jalil sementara tahun berikutnya akan diadakan di Pahang.
Sukan wajib pada SUKMA ialah akuatik (renang, terjun), badminton, bola sepak, gimnastik, hoki, olahraga, skuasy, bowling, angkat berat, berbasikal, karate, lawn bowl, memanah, menembak, perahu layar, silat, sepak takraw, taekwondo dan wushu.
– Bernama