Terlalu kuat cemburui kekasih

Kaunseling bersama Dr Sapora Sipon

Soalan:

Saya risau dan kecewa dengan sikap keterlaluan terhadap kekasih. Dia baik malangnya saya pula kuat cemburu.

Selama ini, saya anggap senario itu sangat remeh, tetapi apabila mengalaminya, baru saya sedar keperitannya. Kekasih adalah bekas kekasih kepada rakan baik saya.

Semuanya bermula hanya sebagai rakan, namun akhirnya wujud perasaan sayang.
Saya menganggap kekasih adalah sangat ideal, namun sikap cemburu saya membuat­kan dia tidak tahan.

Apatah lagi sikapnya membayangkan bagai dia masih mempunyai perasaan terhadap rakan baik saya. Kami sering bergaduh.

Saya juga sering terasa hati kerana kekasih tidak pernah meluahkan perasaan sayangnya pada saya sedangkan ketika bersama rakan baik, dia selalu memujuk rayu.

Kini kekasih bertindak mendiamkan diri. Saya sedih dan tertekan menyebabkan tumpuan pada pengajian terganggu.

Apa harus saya lakukan?

RASA BERSALAH
Pahang

Jawapan:

DR faham perasaan adik yang kini resah dan sedih. Memang benar kata orang cinta mampu mengundang perasaan indah dan pada peringkat umur begini, sudah tentu mahu diri disayangi.

Adik sangat berani dan mempunyai kekuatan tersendiri kerana mahu mengaku kelemahan diri yang selalunya sukar dilakukan orang lain apatah lagi mengakui sikap buruk diri sendiri.

Bagaimanapun, ia tidak bagus dan adik perlu berusaha membuangnya biarpun biasa berlaku pada pasa­ngan bercinta.

Perasaan itu timbul kerana rasa curiga dan takut kehilangan orang tersayang selain ingin mengawal dan mengongkong pasangan.

Adik perlu belajar bagaimana mahu mengawal perasaan kerana cemburu yang tidak terkawal boleh menjejaskan hubungan, sekali gus mengganggu emosi seseorang. Jangan biarkan perasaan itu menguasai diri.

Adik mungkin gelisah, takut dan rendah diri apabila membayangkan tidak sebaik rakan baik yang pernah menjadi kekasih teman lelaki. Itu kisah lamanya dulu, tidak perlu diungkit.

Berusahalah untuk memulihkan kembali hubungan meskipun sukar kerana perasaan orang lain tidak boleh dipaksa meskipun sudah berusaha memper­baiki keadaan.

Adik perlu menerimanya sebab kita tidak boleh memaksa seseorang menyukai atau menerima perasaan individu. Ada sebab mengapa kekasih adik mengambil tindakan itu.

Apa yang penting, adik perlu menerima dugaan ini dengan hati terbuka. Sudah pasti ada hikmah di sebaliknya. Mungkin adik boleh bermuhasabah diri.

Belajarlah mengawal diri dan perasaan cemburu dan tidak akan mengulanginya lagi.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url