3,000 bayi berjaya dilahirkan menerusi rawatan kesuburan

Seramai 3,000 bayi berjaya dilahirkan menerusi program rawatan kesuburan sejak ia mula diperkenalkan kepada pasangan bermasalah mendapatkan zuriat pada tahun 1979.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kejayaan itu merupakan sumbangan terbesar Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dalam membantu pasangan bermasalah untuk mendapatkan zuriat.

Katanya, kegagalan mendapatkan zuriat membolehkan mereka dikategorikan sebagai antara keluarga yang berisiko tinggi.

"Kegagalan mendapatkan zuriat merupakan salah satu punca perselisihan faham dan perceraian dalam sesebuah keluarga.

"Oleh itu, melalui program kendalian LPPKN ini, kita membantu merealisasikan impian mereka untuk mendapatkan zuriat dengan menggunakan pelbagai kaedah rawatan terkini seperti persenyawaan tabung uji (IVF)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Observation of National Family Day di sini hari ini.

Majlis yang diadakan sempena Forum Peringkat Menteri Asia Timur Mengenai Keluarga (EAMFF) kali keempat itu turut menyaksikan kehadiran 14 menteri dari negara-negara peserta forum itu serta dihadiri 48 kanak-kanak yang dilahirkan melalui program tersebut.

Forum yang berakhir hari ini mengutarakan tema "Keluarga Selamat dan Berdaya Tahan: Melindungi dan Memperkasakan Keluarga Berisiko dan Berisiko Tinggi".

Shahrizat ketika berucap pada majlis itu berkata, kegagalan mendapatkan zuriat dikenal pasti berpunca daripada suami dan isteri yang mana masing-masing menyumbang kepada 30 peratus punca kegagalan.

Menurutnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengkategorikan masalah ketidaksuburan sebagai satu penyakit yang memerlukan rawatan segera.

Jelasnya, kadar global subfertiliti adalah sekitar 15 peratus dan di Malaysia antara 10 hingga 15 peratus.

"Kita ambil berat tentang keluarga-keluarga di Malaysia. Kerajaan akan beri perkhidmatan sebaiknya untuk bantu keluarga yang menghadapi masalah.

"Pada masa ini kita mempunyai tiga klinik rawatan kesuburan LPPKN iaitu di Kuala Lumpur, Ipoh dan Johor Bahru. Selain rawatan IVF, LPPKN kini turut menyediakan rawatan suntikan ke dalam sel rahim kepada pasangan yang memerlukan," katanya.

Pada majlis itu, Shahrizat turut melancarkan buku Panduan Jalinan Kasih Rawatan Subfertiliti yang diharap dapat membantu pasangan yang mempunyai masalah kesuburan untuk memahami masalah itu dan tampil mendapatkan rawatan.

- UTUSAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url