Wasatiah dalam diri remaja

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

WASATIAH atau bersederhana adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Islam mengajar pendekatan wasatiah dalam setiap perkataan, pemikiran, tingkah laku, perlakuan serta amalan.

Namun begitu, adakah dengan bersikap sederhana ini akan menjadikan umat kita tidak maju dan ke hadapan?

Kebanyakan umat Islam kini menyalahgunakan istilah sederhana lalu tidak mahu maju dan berserah kepada nasib dan takdir. Bagaimana remaja boleh menghayati sikap wasatiah yang sebenarnya?

Bukan ambil mudah

Ajaran Islam mengajar kita supaya bersederhana pada percakapan dan pertuturan, pemikiran dan amalan. Waima begitu, wasatiah tidaklah melunturkan seseorang manusia daripada prinsip yang benar dan yang salah.

Sebagai remaja yang baru hendak meniti alam dewasa, remaja seringkali membuat keputusan secara terburu-buru tanpa mengambil pandangan semua pihak terdekat.

Kadangkala, remaja cepat melenting dan melatah dengan sesuatu isu yang menimpa mereka, lalu mengambil jalan melampau dengan memberontak dan melakukan sesuatu yang kurang elok.

Tidak kurang juga ada remaja yang berpura-pura tidak ambil tahu masalah yang menimpa, tetapi tanpa disedari ia membarah di kemudian hari jika tidak diselesaikan.

Remaja Islam yang mengamalkan sikap wasatiah akan berupaya menyaring sesuatu hikmah kejadian dan berusaha untuk menyelesaikan sesuatu isu sebaik-baik mungkin.

Selepas perang Badar misalnya, Rasulullah SAW bersetuju membebaskan tawanan perang dengan syarat mengajar anak-anak umat Islam ketika itu untuk membaca.

Sekiranya baginda bersikap melampau dan terlalu tegas, masakan tawanan perang itu dibebaskan begitu sahaja.

Daripada sini kita dapat melihat sikap keterbukaan dan bersederhana Rasulullah, walaupun dengan pihak musuh.

Oleh itu, bersikap sederhana membawa banyak kebaikan dan manfaat sekiranya dilakukan dengan hikmah dan bijaksana.

Bersikap sederhana tidaklah bermaksud meremeh sesuatu perkara atau mengambil mudah akan sikap dan pendirian.

Bersikap terbuka juga berkait rapat dengan sifat wasatiah. Sikap wasatiah juga mengimbangi akal pemikiran dan perlakuan daripada perbuatan melampau.

Bersikap sederhana bukan bermaksud mengambil mudah akan sesuatu perkara dan hanya berserah kepada takdir dan nasib untuk menentukan segalanya, tetapi ia lahir daripada ilmu yang benar, tahu membezakan yang mana benar dan yang batil serta bertolak ansur.

Menolak perkembangan ilmu, sains dan teknologi daripada Barat secara mutlak atas alasan ia berasal daripada sistem sekular dan menindas tidak harus dijadikan alasan untuk bersikap ekstrem terhadap sesuatu.

Barat suatu ketika dahulu mengambil manfaat daripada tamadun Islam terdahulu dan diadaptasikan untuk memajukan tamadun mereka sendiri.

Yang menjadi cabaran hari ini bagi remaja adalah mengimbangi antara mana benar dan mana yang salah. Jalan tengah seringkali dianggap jalan yang selamat, tetapi ia haruslah berlandaskan prinsip dan ajaran yang betul dan bijaksana.

Yang penting diinsafi oleh remaja ialah Islam prinsipnya adalah agama damai. Ada sesetengah kes-kes orang Islam yang mempamerkan imej negatif terhadap Islam.

Tetapi itu bukanlah gambaran sebenar terhadap ajaran Islam itu sendiri. Konsep salama membawa maksud sejahtera.

Islam tidak menolak kemajuan dan kesejahteraan, tetapi menuntut supaya umatnya sentiasa bersikap sederhana dan wasatiah dalam menjalani setiap jalan kehidupan tanpa mengenepikan prinsip-prinsip asas syarak dan tradisi.

- UTUSAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url