Ada Pesalah Trafik Terjun Sungai Kerana Takut Anggota JPJ, Kata Ketua Pengarah JPJ

Kebanyakan pesalah trafik sanggup melakukan apa sahaja termasuk terjun ke sungai dan berpura-pura mandi untuk mengelak tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata dalam satu kes di Pahang, ada penunggang motosikal yang terjun ke sungai untuk mandi setelah ternampak anggota JPJ dan menunggu sehingga operasi tamat baru naik semula ke darat.

"Mereka lebih takutkan penguatkuasaan berbanding keselamatan mereka sendiri," kata Solah semasa menutup proram Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) peringkat negeri Perlis di Kuala Perlis, Ahad.

Beliau berkata masih banyak pengguna jalan raya yang mengabaikan keselamatan diri dengan menunggang motosikal tanpa lesen atau tidak memakai topi keledar sedangkan pada masa yang sama mereka begitu gerun terhadap anggota penguatkuasa.

"Ini sebabnya JPJ turun ke kawasan-kawasan melalui program SKSJ bagi menyedarkan orang ramai tentang perlunya mereka memiliki lesen terutama bagi penunggang motosikal," katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 319 penduduk tempatan yang berumur lebih 45 tahun menerima lesen memandu setelah melalui proses ujian pada program SKSJ itu.

Solah berkata JPJ juga akan meningkatkan lagi program seumpama itu tahun depan dengan turut membabitkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) kerana selain pemilikan lesen memandu, para penunggang motosikal juga perlu disedarkan tentang kepentingan memakai topi keledar dan jaket keselamatan.

"Kami (JPJ dan JKJR) akan mengadakan perbincangan dalam tempoh terdekat bagi merangka program untuk tahun depan," katanya.

Mengenai mangsa-mangsa banjir, beliau berkata orang ramai yang kehilangan dokumen seperti lesen, cukai jalan atau dokumen pendaftaran kenderaan boleh memohon kepada JPJ secara percuma.

Bagaimanapun mereka perlu mendapatkan pengesahan daripada pamimpin tempatan termasuk wakil rakyat, pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau para pegawai kanan JPJ.

Sebelum ini, permohonan mendapatkan salinan dokumen itu dikenakan bayaran antara RM10 dan RM50 mengikut jenis dokumen, katanya.

Mengulas mengenai penahanan dua kakitangan JPJ Negri Sembilan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit penyelewengan, Solah berkata JPJ akan memberi kerjasama sebaik mungkin kepada SPRM.

Katanya, beliau mendapat tahu perkara itu tiga bulan lalu dan mengarahkan pengarah JPJ Negri Sembilan membuat laporan polis kerana terdapat unsur penyelewengan itu.

Menurutnya, Kelab Kebajikan JPJ tidak boleh memungut derma dan perkara itu adalah jelas tetapi mereka boleh menjana kewangan melalui kegiatan jualan.

Dua kakitangan JPJ itu yang berumur 45 dan 53 tahun itu adalah antara lima yang ditahan SPRM semalam kerana dipercayai menyalahgunakan wang kutipan derma sebanyak RM660,000 untuk menganjurkan Majlis Mesra JPJ Negri Sembilan yang tidakwujud.

Majlis itu kononnya dijadualkan pada 2 Oktober lalu tetapi tidak diadakan manakala wang kutipan untuk majlis itu dilaporkan telah dikeluarkan dengan berbaki sebanyak RM4,000 dalam akaun kelab itu.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url