Top Ad 728x90

,

BN pinda perlembagaan

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini membuat keputusan bersejarah dengan meminda beberapa perkara dalam perlembagaan parti.

Pindaaan tersebut berkuat kuasa hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, pindaan itu amat penting sekali gus memperlihatkan dasar inklusif BN yang membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang percaya kepada prinsip dan perjuangan parti itu.

Pindaan itu adalah:

* Ahli bersekutu – sesiapa sahaja yang ingin menyertai BN boleh memohon secara terus bagi menjadi ahli bersekutu. Bagaimanapun hak dan keistimewaannya tidak akan sama seperti ahli parti komponen lain.

* Ahli bergabung – terbuka kepada pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan politik untuk bekerjasama dengan BN.

* Kelab Sahabat BN – terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadi rakan BN

* Kelab Rakan Muda BN – terbuka kepada golongan belia berusia antara 18 hingga 21 tahun yang menyokong BN tetapi masih belum menjadi pengundi.

Bekas ahli komponen BN tidak diterima

Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, mana-mana ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bertindak keluar parti tidak akan diterima menjadi ahli bersekutu BN.

Sebaliknya kata Perdana Menteri, ahli parti pembangkang yang ingin menjadi ahli bersekutu BN akan diterima tetapi ia masih tertakluk kepada kelulusan Dewan Tertinggi BN.

"BN amat terbuka dalam perkara ini iaitu sesiapa sahaja boleh menjadi ahli bersekutu tetapi bagi bekas ahli komponen BN tidak dibenarkan. Maknanya jika dia sudah menjadi ahli UMNO tetapi meninggalkan UMNO, kemudiannya memohon menjadi ahli bersekutu, sama juga dengan MIC.

"Mengenai ahli daripada parti pembangkang, syarat ditetapkan ialah dia perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan Dewan Tertinggi BN, ini perlu bagi mengelak elemen buruk iaitu masuk dengan niat tidak baik kepada BN," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Najib berkata, keputusan bersejarah sebulat suara itu merupakan antara pindaan perlembagaan BN yang dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Beliau berkata, selain ahli bersekutu iaitu boleh memohon secara terus bagi menyertai BN, Dewan Tertinggi BN juga mewujudkan ahli bergabung dengan membenarkan pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan politik bekerjasama dengan BN.

"Dewan Tertinggi BN akan tentukan hak-hak dan keistimewaan ahli bersekutu yang mana ia tidak akan sama seperti yang dinikmati oleh ahli parti komponen lain.

"Bagi ahli bergabung pula, ia sebagai komitmen BN terhadap kumpulan terlibat yang yakin dan percaya kepada prinsip serta perjuangan BN," katanya.

Tambah Najib, mesyuarat itu juga memutuskan untuk mewujudkan Kelab Sahabat BN dan Kelab Rakan Muda BN sebagai memberi peluang kepada individu yang ingin menjadi rakan dan sahabat BN.

"Kelab Rakan Muda BN ini terbuka kepada golongan belia berusia antara 18 hingga 21 tahun yang menyokong BN tetapi masih belum layak menjadi pengundi," katanya.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90