Top Ad 728x90

Nicol terima Anugerah Wanita Malaysia 2010

KUALA LUMPUR 28 Nov. – Pemain skuasy negara, Datuk Nicol David malam ini menerima Anugerah Penghargaan Kepada Wanita Malaysia 2010 bersama lapan individu lain yang cemerlang dan berjasa mengikut kategori masing-masing.

Nicol yang merupakan pemain nombor satu dunia dan penyumbang pingat emas pada Sukan Asia XVI di Guangzhou, China menerima pengiktirafan tersebut berikutan kecemerlangannya dalam bidang sukan.

Nicol diwakili bapanya, Desmond David menerima anugerah itu yang disampaikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut menerima anugerah tersebut ialah Datuk Faridah Merican bagi kategori seni dan budaya; Datuk Khatijah Ahmad (keusahawanan-korporat) dan Datuk Azlina Che Abdullah (keusahawanan-sektor swasta).

Individu lain ialah Datuk Ruby Khong (hati emas); Datin Frieda Mohd. Pilus (pendidikan); Sia Ling Ling (orang kurang upaya); Tijah Yok Chopil (kemanusiaan) dan Profesor Dr. Suhaila Mohamed (sains dan teknologi).

Anugerah berprestij anjuran bersama Yayasan Mahkota dan MSP Communication Sdn. Bhd. itu merupakan pengiktirafan dan penghormatan buat wanita yang banyak menyumbang jasa kepada keluarga, masyarakat dan pembangunan negara.

Selain majlis penganugerahan, acara tahunan itu turut menganjurkan dialog, ekspo dagangan, bengkel motivasi dan pameran bertujuan memberi pengetahuan, peluang dan jaringan hubungan kepada peserta.

Turut diadakan adalah penyerahan cek kepada Persatuan Penulis Wanita (Pertama) dan Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia yang dikutip menerusi jualan lelongan amal.

Antara yang dilelong adalah lukisan yang dihasilkan isteri Sultan Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; kerongsang berlian dan beg kulit eksklusif.

Pada majlis itu juga, penghargaan khas turut ditujukan kepada jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya.

Terdahulu dalam ucapannya Rosmah berkata, penganugerahan tersebut amat bermakna dan mampu memberi inspirasi kepada para wanita di negara ini untuk berjaya dalam bidang masing-masing.

Sejak berabad lamanya kata beliau, wanita telah menjadi penyumbang kepada kejayaan dalam pelbagai aspek kehidupan dan menjadi tulang belakang kepada ekonomi, pembangunan sosial, komuniti dan kekeluargaan.

Dalam pada itu, penerbit dan pengarah acara tersebut, Mahani Awang berkata, satu pameran khas mengenai isteri-isteri Perdana Menteri Malaysia bersempena Ekspo Penghargaan Kepada Wanita akan diadakan pada Februari tahun depan.

- UTUSAN

1 Comment:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90