Bilik tidur rangsang hubungan
AWAS bagi pasangan suami isteri. Bilik tidur adalah khazanah yang menyimpan banyak rahsia. Justeru, seelok-eloknya janganlah dibiarkan orang lain memasukinya dengan sewenang-wenang termasuk pembantu rumah.
Belajarlah mengemas bilik sendiri dalam usaha untuk memelihara rahsia keutuhan rumah tangga dan hubungan sulit suami isteri.
Bahkan, anda akan pasti rasa puas hati apabila dapat mengindahkan bilik tidur biarpun dengan cara sendiri.
Hubungan suami isteri yang bermula di bilik tidur memberikan rasa keintiman kepada setiap pasangan sekiranya anda memberi lebih rasa kecintaan kepada hubungan itu menerusi beberapa petua menjaga hubungan di bilik tidur.
*Pastikan bilik tidur bersih, berbau harum
Biar sekecil mana pun bilik tidur anda, pastikan ia bersih, tersusun dan kemas di mata suami atau anda memandangnya. Pastikan ia berbau harum untuk menerbitkan rasa aroma seronok untuk ke kamar tidur.
*Badan bersih, tidak penat
Sebelum tidur pastikan anda dan pasangan memakai pakaian yang bersih, berbau harum dan memikat antara satu sama lain. Tidak perlu 'tampal' mekap yang banyak di wajah, cukup sekadar seri muka yang asli. Ketepikan seketika rasa penat selepas seharian bekerja. Masa yang anda luangkan untuk pasangan di tempat tidur adalah amat berguna.
*Jangan tidur dahulu
Kerap kali kita dapati ada pasangan yang tidur dahulu sebelum pasangannya terlelap.Apa kata cuba luangkan selama 10 minit untuk berbicara hal-hal berkaitan apa yang berlaku pada hari itu untuk saling menyatakan pandangan. Ada juga pasangan yang sebelum tidur menonton televisyen dari atas katil mahupun membaca buku tanpa mengendahkan pasangan yang berada di sebelahnya. Dalam hal ini berikan pasangan anda masa beberapa minit untuk bermesra sebelum tidur.
*Berdengkur
Tidur berdengkur juga satu masalah buat pasangan anda yang akan menyebabkan tidurnya terganggu. Jadi berusahalah untuk mengatasi keadaan itu.
*Beri kejutan
Sesekali beri kejutan kepada pasangan anda di tempat tidur untuk dijadikan kenangan keesokan harinya. Kejutan apa? Mungkin dengan sekuntum bunga, sekotak hadiah kecil, seikhlas ciuman dan cubitan sayang, ia pasti amat bermakna sehingga hari esok.
- UTUSAN