Kembara Buku dokumentari dunia buku di RTM
Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN
Dunia buku adalah dunia yang cukup ‘unik’ dan ‘kelas tersendiri’; penuh pesona, penuh estetika, penuh warna-warni yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. ‘Kenikmatannya’ hanya dirasakan apabila kita terbuai dalam keasyikkan dunianya.
Itulah yang dialami oleh para pencinta buku.
Dunia buku atau nama saintifiknya Biblioholisme (kecintaan dan ‘kecanduan’ terhadap budaya buku) memang sebuah dunia yang mempesonakan. Ada pelbagai karya yang memaparkan pesona dunia buku. Antaranya: How Reading Changed My Life (Ann Quindlen), A Gentle Madness: Bibliophiles, Bibliomanes, and the eternal passion for books” (Nicholas Barbanes), A Passion for Books (Harold Rabinowitz), Library: An Unquite History (Matthew Battles), The Arabic Book (Johannes Pedersen).
Selama ini dan selalunya dunia buku ditampilkan dalam bentuk yang agak kaku dan statik. Lihatlah media elektronik memaparkan dunia buku tidak lebih dari sekadar ulasan buku, diskusi buku tanpa ada penerokaan yang kreatif.
Dunia buku sebenarnya mempunyai dinamikanya sendiri bukan ‘dunia baca buku semata-mata’ apatah lagi pemaknaan falsafah dunia buku itu sendiri akhirnya membawa kepada ‘pembudayaan pembacaan’.
Maka gesaan untuk mengajak kepada masyarakat berbudaya membaca perlu pada pendekatan kreatif yang segar dan tidak cukup dengan hanya slogan keasyikkan lama: ‘Membaca jendela ilmu’, ‘Membaca membina minda’ dan lain-lain lagi.
Slogan tanpa pemaknaan yang mendalam menjadikan gesaan mengajak masyarakat membaca sekadar ‘retorik.’
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sebagai institusi ‘wajib’ dalam pembudayaan pembacaan telah meneroka pendekatan yang kreatif, menarik dan berwajah baru dalam mengajak masyarakat Malaysia untuk mengenal dan mengapresiasi dunia buku dengan menerbitkan dokumentari tv Kembara Buku dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Dokumentari yang bersifat ‘travelog’ itu telah pun mula ditayangkan pada 12 Disember lalu.
Kembara Buku ini mempunyai 13 episod dan ditayangkan pada setiap hari Ahad, pukul 2 petang di TV1 selama 30 minit. Penerbitan travelog Kembara Buku diharapkan dapat memenuhi objektif berikut:
# Memberi promosi secara meluas menerusi siaran televisyen mengenai budaya membaca kepada masyarakat.
# Mempromosi industri buku sebagai usaha galakan membaca masyarakat Malaysia.
# Memberi persepsi baru kepada masyarakat tentang kepentingan buku sebagai sumber ilmu.
Kembara Buku terbitan PNM merupakan dokumentari tv pertama di Asia yang bersifat travelog yang memberi fokus kepada dunia buku. Sebuah travelog yang melihat sisi lain yang memikat dunia buku yang jarang diterokai secara mendalam.
Kita akan dibawa untuk mendekati para pencinta buku (biblioholis), aktivis dan ‘pejuang’ buku, institusi dan suasana pesta yang tidak pernah didedahkan sebelum ini.
Lebih menarik lagi Kembara Buku musim pertama ini bukan hanya meneroka pengalaman di Malaysia bahkan turut menjelajah ke Indonesia, Mesir dan Arab Saudi.
Seringkali kita melihat sebuah travelog diterbitkan untuk menggambarkan tarikan yang pelbagai di destinasi yang dikunjungi.
Istimewanya Kembara Buku kerana ia memberikan suluhan yang nyata sekali berbeza dalam pengalaman pengembara kerana tumpuannya adalah dunia buku meliputi sama ada pencintanya, penggiatnya, institusinya atau acaranya.
Ini satu-satunya travelog yang diterbitkan dengan fokus berkenaan dan ia tentunya menjadi suatu sejarah buat Malaysia dan dunia kerana menggambarkan sebuah budaya yang mungkin masih asing dalam pengalaman pelancongan di Malaysia.
Dalam konteks Kembara Buku, ia memaparkan hakikat kembara kelompok yang dikenali sebagai Book Trailers atau Pemburu Buku. Dalam setiap misi dan destinasi, pemburu buku akan mencari keunikan dan kelainan sama ada di sebalik penggiat buku, pencinta buku, institusinya atau acaranya.
Dalam terbitan musim pertama ini, Kembara Buku dihoskan oleh pengacara Sayed Munawar yang juga seorang pencinta buku. Kembara Buku meliputi empat buah negara: Malaysia, Indonesia, Mesir dan Arab Saudi.
Dalam Kembara Buku Indonesia, para penonton akan dibawa berkunjung ke Perpustakaan Peribadi HB Jassin di Taman Ismail Marzuki, Jakarta. HB Jassin adalah seorang sasterawan Indonesia tersohor yang juga seorang pencinta dan pemburu buku yang luar biasa.
Begitu juga kita di bawa untuk mengenal Koleksi Muhammad Hatta di Universiti Gajah Mada. Hatta adalah pemimpin dan pemikir Indonesia yang sezaman dengan Sukarno. Kita juga dibawa ‘ziarah ke kampung Buku Kiyai Langgeng, seorang ulama yang mewakafkan tanahnya untuk dijadikan desa buku.
Kita turut ‘berkenalan’ dengan Haidar Bagir, seorang pencinta buku dan intelektual Indonesia yang disegani. ‘Kegilaannya’ terhadap buku dan wacana tinggi menyebabkan Haidar sanggup berhutang untuk menubuhkan syarikat penerbitan Mizan semasa masih menuntut di universiti. Mizan terkenal sebagai peneraju ‘trend’ penerbitan buku-buku Islam berwacana tinggi.
Kembara Buku Mesir pula membawa kita berkunjung ke Pesta Buku Kaherah yang merupakan pesta buku kedua terbesar dunia selepas Pesta Buku Frankfurt, Jerman.
Penonton juga dibawa ke kafe Naguib Mahfouz (Penerima Anugerah Nobel untuk kesusasteraan) yang selalu bersantai semasa hayatnya dan menemu bual teman baiknya yang merupakan ketua editor akhbar Al Youn, akhbar sastera di Mesir. Namun paling menarik, penonton di bawa menyelami ke Perpustakaan agung leluhur manusia iaitu Perpustakaan Iskandariah atau ‘Bibliotheca Alexandria, perpustakaan tertua dunia yang dibangunkan pada tahun 290 SM.
Kembara Buku Arab Saudi pula membawa penonton ke dua buah kafe unik di Jeddah yang menggambarkan suasana ilmu yang nyaman dan mempesona. Ia meraikan tokoh sasterawan Arab Saudi dengan buku-buku disajikan di sekeliling kafe untuk bacaan pengunjung, Di samping itu turut di tinjau kedai buku sekitar Masjidil Haram dalam suasana musim haji.
Demikianlah sekelumit episod travelog Kembara Buku. Ia ibarat sebuah perjalanan mencari ‘makna’ terdalam sebuah dunia yang tidak pernah henti dan jemu untuk mencerdaskan manusia.
Benarlah kata Barbara Tuchman, seorang penulis Amerika Syarikat: “Buku ialah pengusung peradaban. Tanpa buku, sejarah menjadi sunyi, sastera bisu, ilmu pengetahuan lumpuh dan fikiran menjadi kaku.”
- UTUSAN