Liga M 2011 dapat tajaan lumayan RM220 juta
Penajaan itu meliputi hak penyiaran yang bernilai RM30 juta setiap tahun, manakala RM100 juta lagi bakal dilaburkan syarikat TV satelit berbayar itu bagi kegiatan promosi bola sepak dan luar gelanggang, tanpa menghalang kerjasama dengan rangkaian TV lain yang ditonton secara percuma.
Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berkata: "Astro merupakan salah satu daripada bakal penaja yang membida dan kami putuskan untuk memilih mereka sebagai rakan kongsi dan rakan media dengan memberikan hak tertentu perlawanan Liga M termasuk hak penyiaran."
Namun katanya, "tidak bermakna Astro Media akan menjadi penaja kejohanan tetapi mana-mana syarikat yang mahu membuat urusan penajaan, boleh berunding dengannya yang turut menjalankan pemasaran Liga M dengan Malaysia Super League (MSL).
"Kedudukan RTM (sebelum ini penyiar rasmi liga) tidak akan terjejas malah semua saluran TV lain termasuk yang percuma malah media baru seperti TV internet boleh bekerjasama dengan Astro dan RTM bebas untuk berunding mengenainya melalui Astro Media.
"Selain itu kami akan tubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang memantau kerjasama ini kerana keuntungan lebih RM30 juta bakal dikongsi bersama FAM dan Astro Media," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa MSL selepas mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Telekom Malaysia (TM) sebelum ini menjadi penaja Liga M dengan sumbangan kira-kira RM9 juta setahun kepada FAM sepanjang dua penggal penajaan dari 2002 hingga 2010 yang dijadualkan berakhir pada 26 Januari ini.
Annuar juga menjelaskan bahawa Astro Media mempunyai keupayaan dan kepakaran dalam membantu FAM dari segi mengukuhkan kedudukan kewangannya selain membantunya melaksanakan usaha pembaharuan terhadap Liga M dalam tempoh empat tahun.
"Penajaan ini cuma berkaitan Liga M iaitu Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Presiden tetapi Astro Media cuma diberikan hak rakan media bagi kegiatan pasukan kebangsaan, pembangunan belia dan wanita mahupun kejohanan lain yang dicipta FAM," katanya.
Katanya, hak penyiaran Astro juga bukan bererti hanya stesen TV satelit itu yang boleh menyiarkan perlawanan Liga M, kerana FAM tetap akan cuba menggunakan pendekatan di Eropah, yang turut membenarkan stesen TV lain menayangkan perlawanan lain yang berlangsung serentak.
"Jika ada enam atau tujuh perlawanan yang dimainkan serentak, mengapa hanya satu perlawanan yang ditayangkan? Penajaan ini juga sebenarnya tidak mengenakan sekatan sebegitu atau seperti Astro sahaja yang mendapat hak eksklusif penyiaran Liga M.
Tegasnya, FAM menjangkakan kesan penajaan ini terhadap Liga M, bakal dirasai secara berkala walaupun mungkin agak terhad tahun ini, lebih menyerlah pada 2012 sebelum berjaya ditransformasikan sebagai salah satu liga terbaik di rantau ini pada 2014.
- UTUSAN