Khalifah Harun Al-Rasyid
Harun juga menghadapi banyak pemberontakan seperti pemberontakan kaum Khawarij. Selain seorang yang dermawan, Harun juga meminati bidang seni sebagai penyair.
Sebagai anggota keluarga istana, sejak zaman mudanya baginda banyak terlibat dalam pelbagai urusan pemerintahan yang menjadi bekalannya kelak semasa menjadi khalifah.
Pergaulannya luas, daripada kalangan ulama, pakar undang-undang, penulis, seniman, hingga kalangan bukan Islam. Baginda kerap kali mengundang mereka ke istana untuk membincangkan pelbagai masalah.
Baginda sangat menghormati setiap orang dan tidak hairanlah jika baginda dikagumi sebagai tokoh legenda.
Al-Amin dan Al-Makmun
Abbasiyah mencapai kemuncak kejayaan ketika dipimpin oleh Harun al-Rasyid, dan selepas itu oleh anaknya al-Amin dan al-Makmun. Pada masa itu Islam berada pada zaman keemasan. Masyarakat Islam hidup makmur. Ekonominya maju, terutama dalam sektor perdagangan dan pertanian.
Ketika itu ibu kota Baghdad menjadi pusat perdagangan terbesar dan paling sibuk di dunia. Pemerintah juga melengkapkan Baghdad dengan bangunan besar sebagai tempat beribadat, pendidikan, kesihatan dan perdagangan.
Baitul Hikmah
Harun al-Rashid memainkan peranan yang sangat penting dalam mengembangkan ilmu pengetahuan dan peradaban Islam. baginda mendirikan Baitul Hikmah sebagai institusi penterjemahan pelbagai bidang ilmu.
Pada zaman al-Makmun, fungsi institusi ini dikembangkan lagi menjadi institusi perguruan tinggi, perpustakaan dan badan penyelidikan. Harun juga menubuhkan majlis penyelidikan agama yang diselenggarakan di rumah, di masjid dan di istana. Baginda juga sangat mengambil berat tentang ilmu perubatan, farmasi, kebudayaan, dan kesusasteraan.
Ahli Ibadat
Harun al-Rasyid juga tergolong sebagai seorang pemimpin yang kuat beribadat. Baginda dikatakan mendirikan solat sunat 100 rakaat setiap hari. Baginda juga pergi menunaikan haji atau umrah sebanyak dua kali setahun dengan berjalan kaki dari Baghdad ke Mekah bersama-sama keluarganya dan ulama.
Jika tidak pergi menunaikan haji, baginda menghantar kira-kira 300 orang menunaikan haji dengan biaya penuh dari istana.
Putera Mahkota
Harun al-Rasyid lahir di Rayy (Iran) pada 149 H/766 M. Ayahnya ialah al-Mahdi bin Abu Jaafar al-Mansur, khalifah ketiga Abbasiyah (755-785). Ibunya bernama Khaizuran yang berasal dari Yaman.
Beliau mendapat pendidikan agama dan ilmu pemerintahan di istana atas bimbingan Yahya bin Khalid. Pada 779-780 dan 781-782 baginda pernah memimpin pasukan tentera untuk menyerang Byzantium.
Pada 163 H/779 M baginda menjadi gabenor al-Saifah dan setahun kemudian (164 H/780 M) menjadi gabenor Maghribi. Pada 166 H/782 M baginda disahkan sebagai putera mahkota yang akan menjadi khalifah.
Pada 786 M baginda menjadi khalifah Abbasiyah kelima. Baginda meninggal dunia di Khurasan pada 193 H/809 M.
- UTUSAN