Pemimpin amalkan sikap terpuji mampu jamin kesejahteraan, keharmonian masyarakat
PEMIMPIN adalah teladan kepada pengikutnya. Ketokohan dan keterampilan mereka dengan akhlak mulia sedikit sebanyak mempengaruhi corak pemerintahan seperti kepemimpinan Rasulullah yang berjaya menarik golongan bukan Islam memeluk Islam serta mentaati Baginda sebagai ketua negara.
Sebagai teladan, pemimpin perlu menunjukkan sahsiah yang baik dalam kepemimpinan dan kehidupan harian. Satu sifat diperlukan untuk melaksanakan segala dipertanggungjawabkan ialah amanah.
Amanah, sifat terpuji pada diri Rasulullah yang diberi gelaran al-Amin oleh Quraisy Makkah apabila meraih kepercayaan mereka dengan melaksanakan tuntutan diamanahkan. Apabila tanggungjawab dilaksanakan dengan sempurna, perasaan tenteram, aman, selamat dan harmonis akan dirasai.
Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada (orang) yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.
Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Nisa’: Ayat 58).
Sesungguhnya seseorang yang mempunyai sifat amanah, tidak akan timbul di hatinya melakukan sebarang pengkhianatan atau penipuan terhadap perkara diamanahkan kepadanya.
Firman Allah bermaksud: “Di antara Ahli Kitab ada orang yang jika kamu mengamanahkan kepadanya harta yang banyak, dikembalikan kepadamu; dan ada antara mereka orang yang jika kamu mengamanahkan kepadanya satu dinar, tidak dikembalikannya kepadamu, kecuali jika kamu selalu menuntutnya.” (Surah Ali-Imran: Ayat 75).
Konsep amanah luas, bukan berkait dengan tanggungjawab diberikan malah penjagaan diri, keluarga, hubungan sesama jiran dan masyarakat juga amanah yang perlu dipenuhi. Amanah terhadap diri sendiri seperti kewajipan menjaga kesihatan tubuh badan, menyediakan keperluan pakaian, makanan termasuk juga berusaha memperbaiki masa depan.
Amanah seorang ayah pula memelihara dan memberi didikan kepada anak serta membimbing mereka ke jalan diredai Allah.
Allah menawarkan amanah kepada semua makhluk tetapi hanya manusia bersedia memikul amanah itu menjadi khalifah yang mentadbir bumi.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami menawarkan tanggungjawab memikul amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya) maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka membuat perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Surah al-Ahzab: Ayat 72).
Umat manusia tidak boleh melepaskan diri daripada menunaikan amanah terutama dalam menjalankan urusan pentadbiran menguruskan masyarakat yang semestinya dipelihara dan dikawal tanpa dicemari unsur merosakkan.
Sebarang kerosakan kepada urusan pentadbiran masyarakat perlu diperbaiki berdasarkan amanah diserahkan. Manusia perlu amanah kepada diri, keluarga, kerjaya dan negara di samping menunaikan amanah yang diserahkan agama.
Sebenarnya, kecuaian menjalankan tugas, menyalahgunakan kuasa dan kedudukan, melakukan tugas peribadi dengan berselindung di sebalik tugas rasmi boleh meruntuhkan kesejahteraan serta keharmonian masyarakat.
Masyarakat boleh kucar-kacir, porak-peranda dan tidak puas hati disebabkan perbuatan tidak amanah.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Apabila amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Lalu sahabat bertanya: Bagaimana mensia-siakannya? Rasulullah menjawab: Apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang yang bukan ahli, maka tunggulah saat kehancurannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Amanah ialah tanggungjawab yang tidak boleh dipersoalkan seperti difahami daripada sabda Rasulullah bermaksud: “Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seseorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya.
Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka.
Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin.” (Hadis riwayat Muslim).
- BERITA HARIAN