Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) - Ilmu menjauhi zina
Segelintir ibu bapa khususnya menyifatkan kanak-kanak atau golongan muda tidak seharusnya terdedah pada perbualan atau subjek berbaur seks sebelum tiba waktunya.
Bagi golongan dewasa, isu-isu sedemikian hanya layak dibincangkan oleh individu yang sudah akil baligh.
Namun begitu, tidak ramai pula ibu bapa yang meluangkan masa bercakap dengan anak-anak mereka yang akil baligh tentang topik tersebut.
Dalam banyak kes, ibu bapa menganggapnya sesuatu yang tabu atau memalukan jika dibincangkan secara terbuka dengan anak-anak.
Pencabulan secara senyap
Anak-anak yang meningkat usia remaja juga kebanyakannya tidak mahu membincangkan isu tersebut dengan ibu bapa mereka dan mengambil jalan mudah dengan berkongsi masalah dengan teman-teman sebaya.
Masalahnya, bagaimanakah jika maklumat yang diperoleh itu tidak tepat dan seterusnya menjurus kepada masalah lain?
Begitu juga dengan masalah pencabulan yang banyak terjadi dalam senyap. Ramai kanak-kanak bawah umur yang tidak tahu makna, kemungkinan, risiko dan kesan perlakuan cabul itu sendiri. Maka, bersediakah ibu bapa untuk melindungi anak-anak kesayangan mereka dengan maklumat yang diperlukan?
Justeru, bagi mengelakkan kes pencabulan dalam kalangan kanak-kanak terus meningkat, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil inisitif dengan memperkenalkan pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS), yang berkuat kuasa pada tahun ini.
Menurut Pengarah Raudhatus Sakinah (RS) dan Jawatankuasa Pusat Wanita, Jamaah Islah Malaysia, Rosmawati Zainal, segelintir ibu bapa bimbang apabila pendidikan seks diperkenalkan dalam kalangan pelajar sekolah rendah mahupun sekolah menengah.
Mereka gusar subjek tersebut secara tidak langsung mendorong anak-anak melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
Ironinya, jiwa anak-anak muda sentiasa ingin tahu dan melakukan secara praktikal apabila sudah diberikan pendedahan secara teori.
"Rasanya ibu bapa tidak perlu bimbang. Pelajar bukan diajar cara-cara untuk melakukan seks tetapi subjek berkenaan lebih menjurus pada pendidikan kesihatan reproduksi.
"Dengan adanya subjek sebegini ia membantu meningkatkan kefahaman pelajar tentang kesihatan reproduktif sebenar.
"Saya berharap menerusi subjek PEERS, mereka turut didedahkan dengan isu seks sebelum berkahwin, kehamilan dan penyakit kelamin. Diharapkan subjek itu turut menyelitkan budaya, adab ketimuran dan batasan agama," jelas Rosmawati yang yakin PEERS dapat membantu mengurangkan masalah keguguran anak dan seks bebas di negara ini.
Hampir 12 tahun menguruskan Pusat Perlindungan dan Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, Rosmawati sentiasa dikelilingi remaja perempuan yang pernah terlanjur dan mengandung anak luar nikah.
Faktor utama yang mendorong mereka ke kancah negatif itu adalah gara-gara kurangnya pendidikan agama, tiada pemahaman etika seksual dan pengurusan masalah perhubungan cinta.
Tambah Rosmawati, kebanyakan penghuni RS menyifatkan perasaan dan ucapan cinta perlu disertai aksi di luar batasan seperti hubungan seks, ciuman dan berpegangan tangan. Tanggapan itu ternyata salah.
Enggan melihat masalah sosial semakin meningkat, pihak RS mengambil inisiatif menjalankan kempen Anda Bijak Jauhi Zina. Ia merupakan program mendidik, membimbing dan memperkasa generasi semasa untuk mengatakan tidak kepada zina.
Bagi selebriti Nurul Huda Abdul Wahab, 31, sebagai ibu, dia menerima kehadiran kurikulum PEERS dengan hati terbuka.
Perubahan fizikal
Menurut penyanyi itu, pendedahan awal di sekolah mampu menangani masalah kehamilan dan keguguran anak yang kian meningkat dalam kalangan remaja.
"Subjek ini merupakan satu langkah yang baik dalam memberi maklumat berkesan kepada anak-anak. Jika pendidikan ini diterapkan di sekolah rendah, saya percaya para pelajar akan memahami kepentingan menjaga kehormatan tubuh mereka.
"Mereka menjadi lebih berhati-hati dan menghindari kemungkinan bahagian sulit pada tubuh mereka disentuh individu bukan muhrim.
"Pada masa yang sama, mereka akan mempelajari isu haid dan perubahan fizikal yang berlaku pada tubuh," jelas Nurul yang sentiasa berbincang dengan anak gadisnya, Ayu Nazirah Mohd. Faizal, mengenai implikasi dan kesan aktiviti seks sebelum berkahwin.
Tambah Nurul: "Ibu bapa kini perlu berfikiran terbuka dan tak perlu malu berbicara dengan anak-anak tentang perkara ini.
"Ia lebih baik daripada mereka memperolehinya daripada sumber yang salah menerusi Internet, filem lucah atau bahan bacaan."
- KOSMO!