Tabung Haji beri bonus 5.5 peratus untuk tahun 2010


Seramai 5.6 juta pendeposit Tabung Haji bakal menerima habuan iaitu pembayaran bonus pada kadar 5.5 peratus berikutan kejayaan agensi itu mencatat pendapatan lebih RM2 bilion, tahun lalu.

Ketika mengumumkannya semalam, Pengerusinya, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Musa berkata, pendapatan itu adalah peningkatan sebanyak RM305 juta atau 17 peratus berbanding pendapatan pada 2009. Keuntungan selepas zakat bagi 2010 adalah RM1.4 bilion.

Seramai 5.6 juta pendeposit Tabung Haji bakal menerima habuan iaitu pembayaran bonus pada kadar 5.5 peratus berikutan kejayaan agensi itu mencatat pendapatan lebih RM2 bilion, tahun lalu.

Ketika mengumumkannya semalam, Pengerusinya, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Musa berkata, pendapatan itu adalah peningkatan sebanyak RM305 juta atau 17 peratus berbanding pendapatan pada 2009. Keuntungan selepas zakat bagi 2010 adalah RM1.4 bilion.
“Pembayaran bonus pendeposit sebanyak RM1.33 bilion itu adalah daripada keuntungan tahun semasa iaitu peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding bonus RM1.07 bilion yang dibayar pada 2009.
“Kadar bonus pendeposit Tabung Haji adalah kompetitif memandangkan profil pelaburan kita yang terhad kepada pelaburan berlandaskan Syariah saja. Namun begitu, Tabung Haji masih berkemampuan memberikan tambahan 0.5 peratus daripada kadar bonus 2009 sebanyak 5.0 peratus,

“Tabung Haji memiliki 5.6 juta pendeposit dengan jumlah deposit pada 2010 dicatatkan sebanyak RM25.8 bilion berbanding RM21.3 bilion pada tahun 2009,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abi Musa berkata, sumber-sumber utama pendapatan Tabung Haji bagi 2010 adalah daripada pelaburan ekuiti yang menyumbang sebanyak 65 peratus yang mana 19 peratus adalah pendapatan dividen dan 46 peratus merangkumi keuntungan urus niaga saham. Penyumbang kedua terbesar membabitkan pelaburan sekuriti hutang, terutama bon Islam yang menyumbang sebanyak 10 peratus.

“Perbelanjaan operasi Tabung Haji juga adalah terkawal dan dalam trend menurun jika dilihat daripada perspektif pendapatan yang sentiasa meningkat dan saiz dana pendeposit yang bertambah setiap tahun,” katanya.
Abi Musa berkata, keuntungan selepas zakat Tabung Haji bagi tahun lalu turut menunjukkan kadar pertumbuhan yang baik dengan perkembangan 34 peratus berbanding 2009.

“Baki keuntungan 2010 sebanyak RM164 juta akan dimasukkan ke rizab Tabung Haji menjadikan jumlah rizab terkumpul pada tahun lalu sebanyak RM317 juta,” katanya.

“Pengukuhan rizab perlu diberi keutamaan bagi mengelak faktor ketidaktentuan luaran yang akan sentiasa mendatangkan kesan kepada institusi pelaburan seperti Tabung Haji terutama apabila ekonomi masih berada di ambang pemulihan,” katanya.

Mengulas sasaran tahun ini, Abi Musa optimis untuk menyaksikan agensi itu mencatatkan deposit melebihi atau sekurang-kurangnya berada di paras RM30 bilion walaupun sentiasa berwaspada dengan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku.

Mengenai kemungkinan kos menunaikan haji dinaikkan tahun ini, Abi Musa Asa’ari berkata kenaikan itu pada dasarnya diakibatkan oleh pelbagai faktor luaran seperti kos penginapan dan pengangkutan.

“Tabung Haji menanggung subsidi sebanyak RM3020 untuk setiap jemaah kerana setiap jemaah muasasah hanya perlu membayar RM9,980 berbanding kos sebenar iaitu RM13,000.

“Apapun kenaikan yang berlaku, kami jamin ia tidak akan membebankan jemaah kerana ia perlu mengambil kira semua faktor,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url