Portal komik FlipKomik - Bak kedai mamak dalam talian


KOMIK adalah satu medium grafik yang dihasilkan melalui susunan lukisan dalam petak bagi menggambarkan peristiwa yang ingin disampaikan dan mengandungi dialog supaya watak-watak dalam komik tersebut seolah-olah hidup.

Sejarah komik moden bermula di Barat. Pada mulanya bahan bacaan itu hanya disiarkan di akhbar-akhbar harian dengan gaya lukisan kartun yang mengandungi unsur-unsur humor dan juga kritikan.

Kemudiannya komik-komik berunsur aksi mula diterbitkan. Antara komik aksi yang terawal ialah Batman, Spiderman dan Superman.

Kewujudan komik telah merentasi benua dan berkembang pula ke Asia semasa Perang Dunia kedua. Jepun yang turut terpengaruh dengan budaya itu berjaya mencipta komik dipanggil manga yang kini menjadi gaya lukisan komik Jepun.

Portal komik

Revolusi teknologi maklumat pada hari ini bukan sahaja mengubah gaya hidup manusia dalam pelbagai aspek, bahkan kebanyakan bahan bacaan bercetak kian susut apabila teknologi digital mengambil alih.

Oleh itu, kesukaran mendapatkan pengedar serta pelbagai kerenah yang dihadapi sebelum ini menjadi pencetus kepada dua sahabat dari Lembah Klang ini membangunkan portal komik secara dalam talian lewat tahun 2009.

Idea menghasilkan FlipKomik terlintas apabila Fairus Azian Ismail dan Mohsen Amdan membayangkan perkara paling ringkas bagi membangunkan kandungan seolah-olah seperti kedai buku mamak yang sering mendapat perhatian kaki komik sejak dahulu lagi.

Menurut Fairus yang juga Pengarah Kreatif dan Teknologi Flipsio Resources Sdn. Bhd. (Flipsio), FlipKomik bakal dilancarkan pada pertengahan Mei ini dan ia mengumpulkan karya-karya pelukis komik baru dan lama dari seluruh negara dalam satu portal.

“Jadi, konsep yang kami bawa sangat mudah. Di sini FlipKomik berperanan seperti kedai mamak online yang mana pembaca seolah-olah pergi ke sebuah kedai mamak untuk membaca komik kegemaran mereka.

“Bahkan, komik yang bakal diterbitkan dalam portal itu nanti adalah 100 peratus dihasilkan melalui penggunaan perisian komputer yang menggunakan aplikasi flash.

“Dari aspek teknologi yang semakin berkembang dengan pelbagai rangkaian sosial seperti Facebook memudahkan lagi kami menarik orang ramai menyertai portal ini,” katanya.

Sistem yang dibangunkan Flipsio itu mampu menjana pendapatan kepada para pelukis komik malah pihaknya menyediakan dua pilihan untuk terbitan karya mereka iaitu secara percuma atau dikenakan bayaran berpatutan.

Kaedahnya adalah sama seperti seseorang membeli ruang sesebuah laman web dan diikuti pakej istimewa berdasarkan saiz laman yang mereka inginkan.

Lebih menarik apabila portal tersebut turut memaparkan profil lengkap pelukis komik agar pembaca atau pelanggan mudah berinteraksi serta memberi komen.

Disebabkan portal ini masih baru, Flipsio masih belum membuka sebarang pendaftaran kepada pelukis komik mahupun kepada orang ramai sehingga Mei nanti.

“Kos yang paling murah yang mungkin dikenakan kepada pelukis komik kira-kira RM100 untuk tempoh setahun atau mungkin kurang daripada itu. Tetapi, jika ada permintaan tinggi daripada pembaca yang melanggan komik mereka, kita akan cadangkan pelukis menambah laman sedia ada mereka dengan bahan-bahan yang lebih menarik.

“Dalam sistem yang dibangunkan ini, pelukis turut mendapat bayaran. Contohnya, jika pembaca melanggan dengan kadar RM1, kemungkinan syarikat akan membahagi keuntungan sama rata dengan pelukis.

“Namun, jika pelukis komik masih kurang yakin dengan karya yang dihasilkan, mereka boleh mendaftar secara percuma, tetapi ruang yang disediakan adalah terhad,” katanya yang mengharapkan industri kreatif dan teknologi maklumat negara akan lebih berkembang.

Tambahnya, bagi pelanggan yang berminat, mereka usah khuatir kerana pendaftaran ke portal itu adalah percuma. Hanya mereka yang melanggan komik sahaja dikenakan bayaran tertentu kecuali pelukis menawarkan bahan bacaan secara percuma.

Dedahnya lagi, buat masa sekarang hanya bahan bacaan komik menjadi perhatian mereka malah, semua jenis komik boleh dimasukkan ke portal tersebut kecuali bahan porno atau yang memiliki ciri-ciri keganasan melampau.

Aduka komik sulung

Justeru katanya, sebagai permulaan, Flipsio sendiri telah menghasilkan komik berbentuk patriotik berjudul Aduka.

Ia mengisahkan seekor gajah bernama Aduka yang ditugaskan membantu pembinaan empangan di Grik, Perak sekitar tahun 1980-an.

“Ia diadaptasi daripada kisah benar apabila seekor gajah bersahabat baik dengan askar malah, membantu askar dalam kesusahan terutama ancaman daripada komunis yang masih ada ketika itu. Ia bakal diterbitkan dalam portal ini tidak lama lagi,” tuturnya dengan penuh semangat.

Sementara itu, seorang lagi pengasas, Mohsen yang juga Pengarah Pembangunan Perniagaan Flipsio memberitahu, tujuan pihaknya menghasilkan portal komik itu agar bakat melukis anak muda negara tidak disia-siakan begitu sahaja malah, mereka perlu diberi peluang.

Menurutnya, disebabkan pelukis-pelukis berbakat sukar dikesan oleh pihak industri menyebabkan sesetengah syarikat berkaitan bidang kreatif terpaksa menggajikan sumber luar seperti dari Filipina dan China.

“Perkara sedemikian menyebabkan wang kita mengalir keluar padahal bakat bidang kreatif di negara kita sendiri ramai,” katanya kesal.

Mohsen yang merupakan penerima Anugerah Belia Negara 2010 peringkat Kuala Lumpur yakin dengan pelancaran portal itu nanti, pelukis komik sedia ada tidak lagi memerlukan kos yang besar untuk mencetak semula komik atau risau tentang pengedaran kerana semuanya melalui atas talian.

Dia yang kini berusia 33 tahun memberitahu, pihaknya turut bertemu dengan kartunis terkenal seperti Ujang untuk membantu dia menjual karyanya dalam bentuk dalam talian.

“Secara lisannya Ujang dah bersetuju, cuma belum ikat kontrak dengan dia. Kalau Ujang kita boleh dapat, kita percaya kartunis-kartunis lain pun akan meletakkan karya mereka di sini.

“Sebarang pertanyaan atau pendaftaran sebagai pelukis komik boleh die-melkan kepada info@flipsio.com,” ujarnya. Laman Web : flipsio.com

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url