UIAM: Idea bernas Tun Mahathir


Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM

Bukan mudah untuk menubuhkan sebuah institusi pendidikan bertaraf universiti apatah lagi universiti yang bertunjangkan Islam sebagai prinsip pendidikannya.

Dalam dunia yang mengagungkan kuasa barat melalui fahaman liberalisme dan sekularisme, perkara itu mungkin mustahil untuk direalisasikan di sebuah negara kecil - Malaysia.

Namun, keperluan itu wajar dilaksanakan apabila pelbagai pihak merasakan sudah tiba masanya Islam diangkat pada martabat tertinggi dalam setiap bidang kehidupan.

Sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW bermaksud: ''Islam adalah tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya." (Riwayat Baihaqi dan Darul Quthni)

Dengan semangat dan prinsip itulah, maka Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya didirikan di negara ini.

Menyelusuri sejarah penubuhannya sejak 28 tahun lalu, pada mulanya tidak ramai mempercayai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu menjayakan penubuhan UIAM. Ini kerana ketika itu negara berdepan dengan krisis kewangan yang teruk.

Sebagai seorang yang berpandangan jauh, Tun Dr. Mahathir menyimpulkan krisis kewangan bukan menjadi penghalang utama demi melihat Islam terus berkembang melalui institusi pendidikan.

Menceritakan detik itu, bekas Rektor UIAM, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan merupakan antara orang yang paling gembira mendengar berita yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak.

''Saya termasuk di kalangan orang yang turut merasakan bahawa kita perlu mendirikan sebuah universiti Islam di Malaysia.

''Walaupun saya merupakan produk Universiti Malaya (UM) iaitu sebuah universiti sekular di bawah Jabatan Pengajian Islam, saya juga mahu tengok sebuah universiti yang bukan berdasarkan kepada falsafah sekular tetapi falsafah Islam yang menggabungkan ilmu dunia dan agama," katanya ketika ditemui di pejabatnya di UIAM, Gombak, baru-baru ini.

Tun Dr. Mahathir memberi tugasan penting kepada beliau untuk menyiapkan kertas kerja konsep bagi dijadikan asas yang akan dibentangkan ke Parlimen bagi membolehkan universiti itu dilaksanakan tanpa menggunakan bahasa Melayu sebagai modul pembelajarannya.

Selepas diluluskan, bermulalah misi Tun Dr. Mahathir untuk menguar-uarkan berita penubuhan UIAM ke Timur Tengah iaitu di Al-Ain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sementara Prof. Dr. Mohd. Kamal bertindak dalam penyediaan kokurikulum, falsafah dan objektif UIAM.

Pada masa sama, beliau menjadi antara tenaga pengajar pertama dalam bidang ilmu teras selari dengan matlamat penubuhan UIAM iaitu tanpa diwujudkan fakulti khusus bagi pengajian Islam tetapi fakulti ilmu dunia yang akan diterapkan dengan perspektif nilai Islam.

Modelnya harus 'lari' daripada dua konsep berasingan atau dualisme iaitu fakulti Islam dan fakulti ilmu dunia.

''Saya fikir sumbangan ini penting yang akan menjadi ciri istimewa universiti Islam kerana bukan didirikan untuk menjadi satu lagi universiti tetapi sebuah universiti istimewa untuk menyelesaikan dualisme ilmu dunia sekular dan Islam," katanya.

Berdasarkan ilmu teras itu, semua pelajar Islam dan bukan Islam diwajibkan menerima pendidikan tidak formal yang berteraskan falsafah pendidikan Islam melalui dua program iaitu Kem Ibadah dan Halaqah.

Melalui konsep Halaqah sebagai kokurikulum wajib, pelajar akan berkumpul bagi membincangkan ilmu keagamaan dan masalah semasa dari perspektif Islam yang dipimpin oleh seorang 'Naqib'.

Model itu berjalan selama lima tahun di bawah rektor pertama, Tan Sri Dr. Muhammad Abdul Rauf, di samping mewajibkan penggunaan bahasa Arab dan Inggeris.

Bagaimanapun, tidak lengkap sekiranya UIAM berdiri dengan dua fakulti sahaja iaitu Fakulti Ekonomi dan Undang-Undang. Berdasarkan keperluan itu, Datuk Dr. Abdul Hamid Abu Sulayman yang menggantikan tempat Dr. Muhammad Abdul Rauf mencadangkan agar ia diperluaskan ke beberapa fakulti yang lain.

Sebuah Fakulti Sains Sosial mahu diwujudkan bagi pembelajaran berkaitan sosiologi, psikologi dan sains politik, di samping kesusasteraan bahasa Inggeris. Pada masa sama, Fakulti Pengajian Agama juga mahu ditubuhkan bagi pengajian Usuluddin, Syariah, Feqah dan Kesusasteraan Arab.

Namun, konsep pembelajaran sebegitu dibimbangi Prof. Dr. Mohd. Kamal.

''Saya bimbang ilmu sosial ini masih bersifat sekular kerana ia datang dari dunia barat. Oleh itu, buku-buku dan teori-teorinya akan berteraskan falsafah sekular termasuk tidak ramai ahli akademik yang membangunkan ilmu sosial dalam ilmu Islam.

''Saya juga bimbang ilmu agama ini yang bakal diajar tidak terdedah dengan ilmu sosial sekali gus akan berlaku permasalahan dualisme antara ilmu agama dan sekular sebagaimana terdapat di universiti lain yang bukan berteraskan falsafah Islam," katanya.

Sebagai penyelesaiannya, muncul idea untuk mengintegrasikan dua buah fakulti ini supaya ilmu sosial akan mendapat input ilmu agama, manakala ilmu agama turut mendapat ilmu sosial supaya tidak terkongkong dalam dunia sendiri.

Atas kapasiti itu, maka berdirilah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan sebagai sebuah fakulti yang menggabungkan dua daerah pengetahuan yang selama ini tidak pernah digabungkan dalam dunia barat dan moden.

Ia merupakan satu eksperimen berani untuk menjadi peneraju proses Islamisasi ilmu pengetahuan manusia di UIAM. Islamisasi ilmu pengetahuan itu merupakan idea penting yang akan mewarnai ciri UIAM sebagai sebuah universiti unik.

Krisis politik pada 1998 turut menyebabkan UIAM terkena tempias sehingga Dr. Abdul Hamid meletakkan jawatan kerana tidak mahu terseret dalam percaturan politik.

Prof. Dr. Mohd. Kamal yang ketika itu berada di Amerika Syarikat sebagai pemegang kerusi tentang Islam Asia Tenggara di Washington kecewa dan sedih menerima berita itu.

''Justeru, Dr. Abdul Hamid melantik saya sebagai pemangku rektor walaupun saya tidak mahu jawatan itu kerana memikirkan tanggungjawab besar, di samping tidak mahu terlibat dalam percaturan politik.

''Bagaimanapun, saya sedar UIAM perlu distabilkan semula agar ia tidak menjadi mangsa politik," katanya.

Berpegang kepada prinsip bekerja sebagai satu pasukan dan bersandarkan pada misi Islamisasi ilmu pengetahuan, UIAM perlu buat sesuatu demi reformasi pendidikan umat Islam dan dijauhkan daripada sebarang percaturan politik yang boleh menghancurkan universiti itu.

Segala perancangan 'dijenamakan' semula dengan menjalin hubungan dunia luar, di samping meneruskan sistem akademik supaya ia mendapat pengiktirafan bukan sahaja dunia Islam tetapi dunia barat.

Berkat kesungguhan, kesabaran dan kerjasama daripada semua pihak, sistem pendidikan UIAM diiktiraf dunia walaupun menggunakan pendekatan perspektif Islamisasi, pelajarnya dianggap terbaik dan diterima dunia barat.

Kini, UIAM sudah melahirkan 45,000 graduan yang merupakan pemimpin dalam masyarakat di seluruh pelosok dunia termasuk menjadi pembangun pelbagai institusi mengikut perspektif Islam.

Prof. Dr. Mohd. Kamal yang telah menyerahkan 'batonnya' kepada Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid lima tahun lalu berharap UIAM melangkah ke satu era baru ke arah Universiti Penyelidikan yang disegani dunia demi mengangkat martabat umat Islam dan negara ini.

Prof. Dr. Mohd. Kamal yang memegang gelaran Profesor Ulung kini sedang membangunkan sebuah model reformasi pendidikan agama yang menggabungkan ilmu agama dan sains berteraskan konsep tauhid, di samping menyelami konsep wasatiyah dalam pemikiran Islam.

Dalam kesibukannya itu, beliau yang menginjak usia 69 tahun, turut dipertanggungjawab merancang penganjuran Kongres Islamisasi dan Integrasi Ilmu Pengetahuan Sedunia kali pertama pada tahun 2013 sempena 30 tahun penubuhan UIAM.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url