Sasaran 200,000 anggota JPAM tahun 2011
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata, secara keseluruhannya beliau menyasarkan JPAM mampu mencapai anggota seramai 400,000 sehingga penghujung tahun ini.
Menurutnya, ia tidak mustahil untuk dicapai dengan pengenalan slogan 1JPAM 1daerah yang mana proses mendapatkan ahli baru dibuat secara berterusan di setiap daerah.
"Masyarakat kini merasakan kehadiran JPAM di kawasan mereka dan semakin hari semakin ramai yang berminat menyertai kami sebagai anggota bantuan sukarela.
"Inilah yang kita harapkan iaitu menerapkan semangat kesukarelaan di kalangan masyarakat demi membantu masyarakat yang ditimpa bencana," katanya pada sidang akhbar selepas menutup Kursus Asas JPAM Siri3/2011 di pejabat JPAM Butterworth, di sini hari ini.
Seramai 150 anggota baru JPAM menyertai kursus selama tiga hari itu yang mengandungi kemahiran kawat kaki, kawat pengusung, asas pertolongan cemas, asas menghadapi kebakaran dan banyak lagi.
Tambah Abdul Halim, beliau juga amat berbangga dengan penglibatan masyarakat Cina dan India dalam kursus asas itu kerana pasukan JPAM yang sebelum ini banyak disertai oleh orang Melayu.
"Pada hari ini, kita lihat seramai 39 orang daripada peserta kursus asas ini ialah Cina manakala 19 lagi India dan selebihnya ahli Melayu.
"Di Pulau Pinang ini kesedaran bangsa lain untuk menyertai JPAM semakin meningkat dan ini akan membantu usaha yang kita jalankan selama ini," katanya.
JPAM juga, katanya, akan terus membantu pihak polis menangani jenayah jalanan dengan menyertai pasukan simpanan sukarelawan polis (PVR) dan sehingga kini 1,600 anggota JPAM telah dilantik sebagai PVR.
Kata Abdul Halim lagi, pihaknya juga mengharapkan kerjasama majikan untuk menggalakkan pekerja mereka menyertai JPAM serta memberi pelepasan untuk menyertai kursus serta operasi yang dijalankan.
"Kita berharap inisiatif Kementerian Dalam Negeri untuk melaksanakan gelombang sukarelawan ini mampu tercapai di kalangan masyarakat di negara ini.
"Fizikal bukanlah lagi satu halangan untuk menyertai JPAM kerana yang utama adalah semangat dan kemudian barulah kemahiran serta pengalaman itu diasuh," katanya.
- UTUSAN