'Saya tahu sukarnya jadi orang miskin' - Michael
Memegang jawatan sebagai Ketua Biro Pengaduan Awam MCA selama 24 tahun membuatkan nama Datuk Michael Chong sentiasa meniti di bibir masyarakat yang memerlukan khidmat beliau.
Bukan sahaja terhad kepada kaum Cina, bahkan biro yang diterajui beliau sejak tahun 1987 itu turut menjadi pilihan kaum Melayu dan India bagi mengadu masalah yang dihadapi mereka.
Bermula daripada sekecil-kecil kes seperti masalah sampah dan banjir, hinggalah melibatkan kes penipuan dalam jumlah yang besar, pembuli jalan raya serta kekejaman ah long terhadap peminjamnya, Michael berjaya melaksanakan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin.
Malah, di kalangan media beliau amat disenangi lantaran sikapnya yang mudah mesra dan pandai bergurau, sekali gus menjadikan sesi sidang akhbar berjalan lancar.
Namun, di sebalik kemasyhuran beliau, mungkin ramai yang tidak tahu liku-liku kehidupan yang ditempuhi Michael sewaktu zaman remajanya. Peluang berkongsi kisah hidup beliau dalam satu pertemuan dengan Kosmo! di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini memberi satu perspektif baru terhadap figura berusia 62 tahun itu.
Michael merupakan anak sulung daripada enam adik-beradik. Beliau dilahirkan di Batu Gajah, Perak dalam keluarga yang susah. Bapanya cuma seorang tukang sapu di sekolah manakala ibunya bekerja mengambil upah mencuci pakaian.
Beliau menetap di Batu Gajah sehingga berusia enam tahun sebelum keluarganya berpindah ke Batu Arang di Selangor. Michael memulakan alam persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Batu Arang. Selepas itu beliau menyambung persekolahan di Sekolah Methodist Lelaki sesi petang di Kuala Lumpur.
Kehilangan bapa
“Pada zaman remaja saya selalu sakit dan lemah. Pada usia saya 17 tahun, bapa saya meninggal dunia akibat kanser. Apa yang menyedihkan ketika itu kami sekeluarga hanya mempunyai wang sebanyak RM17 dan ia tidak mencukupi untuk mengkebumikan bapa dengan sempurna.
“Ketika bapa sakit, semua duit yang ada habis digunakan untuk berubat dan kebanyakan bomoh yang kami temui adalah penipu. Peristiwa itu begitu berbekas di hati dan tidak mampu saya lupakan hingga ke saat ini,” imbau Michael sambil memberitahu adiknya yang paling kecil berusia enam tahun ketika kematian bapanya.
Sejak itu, beliau bertekad untuk mencari kerja bagi membantu meringankan beban keluarga. Ladang Socfin milik sebuah syarikat dari Perancis menjadi lokasi pertamanya bekerja.
Mengambil upah memotong lalang secara separuh masa membolehkan Michael mendapat upah RM1.50 sehari. Walaupun dibayar dengan gaji yang kecil, beliau tidak pernah merungut dengan tugas tersebut.
Selepas beberapa bulan, Michael mendapat kerja yang lebih baik sebagai pembantu makmal di Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman di Batu Arang. Ketika itu gajinya hampir RM70 sebulan.
“Saya bekerja di sana selama tujuh tahun. Kemudian pada tahun 1974, saya merantau ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib mencari peluang kerja yang lebih baik.
“Di kota saya melakukan beberapa pekerjaan seperti jurujual di Bangsar dengan menjual barangan berupa penyedut hampagas. Setahun selepas itu, saya bekerja di syarikat insurans pula. Masa itu kehidupan saya amat susah kerana duit tidak cukup,” jelas Michael yang pernah melalui pengalaman kereta ditarik kerana ansuran yang tidak berbayar.
Keadaan itu juga membuatkan kehidupan Michael ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bagaimanapun, semua cabaran itu tidak melemahkan semangatnya untuk terus berusaha menjadi manusia yang berguna.
Pada bulan Ogos 1980, Michael berpeluang bekerja sebagai pembantu peribadi kepada seorang wakil rakyat, Lee Kim Sai (kini bergelar Tan Sri dan bekas Menteri Kesihatan) di Rawang.
Boleh dianggap selesa dengan jawatan yang diperoleh, namun Michael masih tidak boleh menarik nafas lega kerana perselisihan yang berlaku dalam kem MCA pada tahun 1983. Lebih teruk, beliau dipecat kerana sebab tertentu.
Tiga tahun kemudian, beliau kembali bekerja di ibu pejabat MCA sebagai Pegawai Perhubungan Awam Harta MCA. Apabila Michael berjaya membuktikan kemampuan dalam menyelesaikan masalah, kepimpinan parti mengambil keputusan untuk menubuhkan Jabatan Perkhidmatan dan Aduan Awam pada September 1987.
Michael sekali lagi diberi tugas baru iaitu mengetuai Biro Pengaduan Awam MCA yang bertanggungjawab memberi khidmat bantuan kepada masyarakat.
“Presiden MCA ketika itu, Tan Koon Swan (November 1985 hingga September 1986) yang mengarahkan saya untuk mengetuai biro tersebut. Justeru, saya sangat berterima kasih kepada beliau di atas kepercayaan yang diberikan.
“Bagi saya prinsip yang digunakan dalam melaksanakan tugas ini ialah kerja berpasukan. Apabila saya buat apa-apa kerja, ia bukan semata-mata tugas saya seorang tetapi amanah daripada pemimpin atasan sehingga ke akar umbi,” tegas Michael yang mengakui bertuah kerana turut mendapat sokongan media dalam menjalankan tugas walaupun pada mulanya mereka berasa sangsi dengan ketelusan lelaki itu.
Apa yang penting, ujar bapa kepada empat cahaya mata tersebut setiap kerja yang dilakukan perlu ikhlas kerana tanpa faktor tersebut, seseorang itu tidak mampu untuk bertahan lama.
Di samping itu, kesusahan hidup yang dialami juga mendorong Michael untuk sentiasa membantu golongan yang memerlukan.
“Saya tahu bagaimana sukarnya menjadi orang miskin. Jadi, saya faham perasaan mereka yang berada dalam situasi berkenaan. Disebabkan itulah, saya sangat mencintai kerja ini kerana dapat berbakti kepada masyarakat,” ungkap Michael yang sentiasa bersemangat dan komited terhadap tugasnya.
- KOSMO!
Baru tahu maklumat beliau, seseorang yang sungguh hebat.