Analisis Pilihanraya Sarawak : Cengkaman DAP Kian Kukuh, SUPP Hilang Taring
DAP menunjukkan peningkatan dari segi sokongan rakyat apabila memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi.
Kemenangan dua kali ganda berbanding yang diperoleh lima tahun lalu itu merupakan jumlah terbesar pernah dicatat dalam sejarah parti tersebut sejak bertanding di Sarawak.
Lima daripada enam kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pending, Kota Sentosa, Meradong, Bukit Assek dan Kidurong yang dimenangi pada pilihan raya negeri 2006 berjaya dipertahankan manakala kawasan di Dun Batu Lintang jatuh ke tangan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Namun, tujuh kawasan yang majoritinya mempunyai penduduk Cina seperti Padungan, Batu Kawah, Dudong, Pelawan, Piasau, Pujut dan Repok berjaya ditakluki dengan 134,847 undi secara keseluruhan.
Parti komponen BN, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) menanggung kekalahan teruk apabila tewas 13 daripada 19 kerusi ditandingi - 12 kerusi jatuh ke tangan DAP dan satu kepada PKR.
Lebih mengejutkan Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam tewas kepada calon DAP, Ling Sie Kiong di DUN Piasau, Miri dengan majoriti 1,590 undi.
SUPP juga kehilangan lima kerusi di kawasan Kuching, tiga di Sibu, dua di Miri dan masing-masing satu di Bintangor dan Bintulu.
Selain Chan, calon SUPP lain yang turut tewas adalah Datuk David Teng (Repok), Datuk Alfred Yap Chin Loi (Kota Sentosa), Tan Joo Phoi (Batu Kawah) dan Sih Hua Tong (Batu Lintang).
Percaturan parti itu mempertaruhkan muka baru, Prof Dr Sim Kui Hian masih gagal memenangi hati masyarakat Cina di Pending apabila penyandang Violet Yong dari DAP mengekalkan kedudukannya dengan memperoleh 7,595 majoriti undi.
Kejayaan besar DAP itu berkemungkinan didorong beberapa faktor seperti menurunkan calon muda yang berkaliber, bertenaga dan bijak mendekati rakyat menerusi ceramah yang dianjurkan sepanjang tempoh berkempen.
Dua calon mudanya, Christina Chiew (Batu Kawah) dan Wong King Wei (Padungan) yang baru bertanding pada pilihan raya kali ini memberi gambaran awal bahawa pengundi di Sarawak mahukan sesuatu kelainan dan pembaharuan dalam sistem politik di Sarawak.
Mungkin ada segelintir pengundi terutamanya di kawasan ramai pengundi Cina sudah bosan dengan calon sama yang dipertaruhkan sekaligus gagal menarik pengundi untuk mengundi mereka.
Malah keberkesanan ceramah dalam kempen parti itu ditambah pula dengan slogan 'Sarawak Jom Ubah' berjaya diterjemahkan penyokong dalam bentuk undi pada Sabtu di mana hampir kesemua kawasan bandar besar berjaya dikuasai.
Kempen agresif DAP dalam membangkitkan isu perkauman, tanah, rasuah dalam pentadbiran kerajaan sedia ada turut menyumbang kejayaan besar parti yang berasal dari Semenanjung itu.
Ia memberi petanda awal bahawa SUPP sudah hilang cengkamannya kerana pengundi inginkan pendekatan berbeza dan nafas baru dalam sistem kepimpinan parti itu.
Masalah kepimpinan dalam parti itu yang gagal diselesaikan turut menjejaskan peluang SUPP untuk mengekalkan penguasaan mereka di kawasan yang dahulunya kubu kuat BN.
Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap SUPP kerana ada beberapa janji yang disuarakan tidak ditunaikan sebagai contoh presidennya berjanji untuk mengundur diri tetapi tetap bertanding di DUN Piasau.
Justeru, kekalahan teruk itu perlu dijadikan iktibar oleh SUPP dalam usaha memperkukuhkan parti tersebut dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap mereka demi memastikan Sarawak terus mansang (maju).
- MSTAR