Jangan pilih pemimpin yang diragui

Bercakap mengenai kepimpinan Islam, selain Rasulullah dan empat sahabatnya yang menjadi khalifah selepas kewafatan baginda, nama Umar Abdul Aziz, cicit Saidina Umar Al Khatab menjadi sebutan paling popular.

Khalifah kerajaan Ummaiyah yang memerintah dari tahun 717 hingga 720 masihi itu dianggap mujaddid (pemerkasa agama Islam) pertama dan menjadi tanda aras sahsiah kepimpinan yang tiada tolok bandingnya.

Ketika dinamakan untuk menjadi khalifah pada usia 35 tahun, Umar berkeras menolak tetapi akhirnya terpaksa akur atas desakan kerabat dan kehendak orang ramai.

Walaupun mempunyai kuasa yang besar ketika Islam sedang berkembang pesat, Umar menjalani kehidupan yang sangat zuhud kerana sifatnya yang sangat 'takut kepada Allah SWT.' Diceritakan bahawa Umar pada suatu ketika hanya memiliki sehelai baju hinggakan beliau kerap terlewat tiba di masjid untuk menunaikan solat Jumaat kerana menunggu pakaiannya kering selepas dibasuh.

Di pejabatnya sentiasa terdapat dua batang lilin. Jika beliau menjalankan urusan rasmi, digunakannya lilin yang dibeli dengan peruntukan kerajaan. Untuk urusan peribadi, digunakan lilin yang dibeli dengan wang sakunya.

Pada zaman pemerintahannya, dikatakan kehidupan rakyat sangat makmur sehingga sukar untuk mencari penerima wang zakat yang akhirnya digunakan untuk pembangunan awam.

Kerajaannya tidak mengenakan cukai, sebaliknya rakyat dikerah bekerja rajin di bidang pertanian. Sesiapa yang memiliki tanah yang tidak diusahakan selama tiga tahun akan dirampas dan diberikan kepada orang lain yang mahu mengusahakannya.

Di majlis perjumpaan dengan rakyat, Umar selalu memberitahu, jika ada pegawai beliau yang tidak memberikan layanan baik, hendaklah dilaporkan kepadanya dan pelapor akan diberikan ganjaran antara 100 hingga 300 dirham.

Ucapan Umar yang menjadi petikan paling masyhur ialah:'' Pemerintah selalunya melantik pegawai untuk mengawasi rakyatnya. Aku melantik kamu (rakyat) untuk mengawasi diriku dan kelakuanku. Jika kamu mendapati aku melakukan kesalahan, bimbinglah aku atau halanglah aku daripada melakukannya."

Pada zaman sekarang, jika tidak mustahil, amatlah sukar untuk menemui seorang pemimpin yang mempunyai keperibadian seperti Rasulullah SAW sebagaimana Umar Abdul Aziz. Dan barangkali kita juga tidak akan menjumpai lagi orang yang menolak jawatan tinggi. Yang sanggup melobi, menipu dan merasuah supaya diberikan jawatan adalah lebih ramai.

Maka kita tidak boleh terlalu idealistik dalam urusan memilih pemimpin. Memadai kita meneliti dan menilai secara realistik dan pragmatik sahaja.

Di Malaysia, oleh kerana majoriti rakyat beragama Islam dan inilah juga agama rasmi, maka pemimpin tertinggi negara wajib seorang Muslim yang sahih menunaikan rukun Islam. Dia juga mestilah bertakwa, yakni mentaati segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Sekurang-kurangnya, itulah tanda zahir seseorang yang beriman. Menunaikan solat lima waktu, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji apabila mampu. Dia juga tidak melakukan dosa besar seperti zina, menggelapkan wang rakyat, rasuah, minum arak dan sebagainya.

Sangat buruk akibatnya jika rakyat tersalah pilih pemimpin. Jika sekadar tidak sebijak pemimpin sebelumnya, tidaklah begitu memudaratkan jika si pemimpin masih mempunyai integriti dan baik akhlaknya. Yang ditakuti ialah kita memilih pemimpin yang diragui akhlak dan ketakwaannya.

Musibah

Jika ini berlaku, sama-samalah kita dan generasi akan datang menanggung musibahnya. Jangan salahkan takdir. Yang bersalah atau menzalimi sendiri adalah kita sendiri. Allah SWT sama sekali tidak menzalimi diri kita.

Sebab itulah kita perlu amat berhati-hati dalam memilih pemimpin. Jika ada sebarang tompok keraguan di hati kita mengenai seseorang, putuskanlah dengan muktamad bahawa dia tidak layak memimpin.

Tidak memberikan peluang kepada seseorang untuk menjadi pemimpin bukanlah satu penganiayaan. Ia bukan satu hukuman kejam atau perkara yang mengaibkannya. Memimpin bukanlah satu hak, tetapi hanyalah amanah.

Tiada siapa yang berhak membuat tuntutan untuk menjadi pemimpin. Sebaliknya hak menentukan siapa yang layak jadi pemimpin terletak di tangan rakyat. Hak ini juga bersifat amanah kerana jika tersalah pilih, kesannya terlalu buruk kepada rakyat dan negara. Oleh itu pilihlah pemimpin yang benar-benar diyakini memenuhi tuntutan Allah dan panduan Rasulullah.

Kenapa mahu menjudikan nasib diri, masyarakat dan negara dengan memilih seorang pemimpin yang dipenuhi dengan unsur keraguan? Sedangkan Rasulullah melarang kita melakukan perkara yang diselubungi was-was atau keraguan, sama ada dalam ibadat atau kehidupan.

Jika anda seorang beriman, jangan mudah tertipu atau terpengaruh dengan cakap orang lain. Siasat dan pertimbangkan dengan adil segala fakta yang terbentang. Kemudian berserahlah kepada Allah supaya diberikan segala petunjuk untuk kita membuat keputusan dengan betul.

Sesudah itu, marilah kita berdoa.

''Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim. Ya Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui. Engkaulah yang memberikan kuasa kepada siapa jua yang Engkau kehendaki. Sesungguhnya Engkau lebih mengetahui apa yang kami sedang alami.

''Angkatlah orang yang beriman untuk memimpin kami dan negara kami, dan jauhkanlah kami daripada dipimpin oleh orang munafik dan fasik. Sesungguhnya tiada daya upaya kami, ya Allah, melainkan dengan ketentuanMu. Tentukanlah yang terbaik bagi kami. Salawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url