Kursus baru perubatan dibeku lima tahun
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pembekuan itu dilaksanakan berikutan peningkatan ketara bilangan graduan perubatan yang dikeluarkan IPT, kompetensi pegawai perubatan siswazah, tenaga pengajar dan masalah kekurangan hospital pengajar.
Beliau berkata, langkah itu tidak menjejaskan bilangan pegawai perubatan diperlukan negara kerana pengeluaran graduan perubatan dari 33 IPT tempatan di samping graduan perubatan yang pulang dari luar negara.
“Keputusan pelaksanaan moratorium (pembekuan) ini diambil pada mesyuarat Kabinet kelmarin, namun ia tidak akan menjejaskan bilangan pegawai perubatan yang diperlukan negara dan pelajar yang sedang mengikuti pengajian masing-masing.
“Malah, ia diyakini mampu menghasilkan jumlah doktor perubatan yang mencukupi menjelang 2020 dengan nisbah seorang pegawai perubatan kepada 400 penduduk (1:400),” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara Institut Pembangunan Profesional-Universiti Terbuka Malaysia (IPD-OUM) dengan Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (PPBM) serta melancarkan program IPD-OUM dan PPBM di sini, semalam.
Mohamed Khaled berkata, seramai 17,190 pelajar sedang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di 33 IPT, termasuk 6,918 di 22 IPTS sehingga 31 Januari lalu dalam pengajian peringkat matrikulasi hingga Doktor Falsafah.
Beliau berkata, kementerian dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa terhadap kandungan program, dan pengiktirafan IPT terbabit boleh ditarik balik sekiranya program ditawarkan tidak menepati kriteria dan piawaian akreditasi.
- BERITA HARIAN