Sindiket penipuan antarabangsa melalui Facebook tumpas
Timbalan Pengarah II, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rodwan Mohd Yusof, berkata ketiga-tiga mereka yang berumur antara 26 hingga 39 tahun dengan dua daripada mereka adalah warga Nigeria, ditahan Isnin lalu dalam dua serbuan berasingan di Seri Kembangan dan Cheras.
Penipuan sindiket itu terbongkar selepas polis melancarkan siasatan berikutan laporan oleh seorang ahli perniagaan warga Taiwan berusia 43 tahun kepada Kedutaan Taiwan di sini pada Februari lalu bahawa dia ditipu hampir RM380,000 selepas berkenalan dan jatuh cinta dengan seorang daripada anggota sindiket itu melalui Facebook.
Pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini, Rodwan berkata suspek menyamar sebagai seorang warga Britain dengan menggunakan nama John Miller ketika berkenalan dengan mangsa kira-kira tiga bulan lalu.
Katanya, suspek mendakwa menetap di United Kingdom dan memberitahu mangsa kononnya dia akan memberi hadiah bungkusan di mana kandungannya terdapat barangan yang berharga 950,000 pound sterling dan mangsa perlu mengambilnya di Malaysia.
"Mangsa tinggal di Taiwan...suspek mendakwa mangsa harus membayar sejumlah wang kerana ada sekatan untuk bungkusan tersebut sampai di Malaysia," katanya.
Mangsa yang terpedaya melakukan beberapa transaksi melalui perkhidmatan Western Union atas nama akaun suspek wanita tempatan tersebut sebanyak RM380,000 dan sehingga ke transaksi ketiga barulah mangsa mengesyaki dia ditipu oleh sindiket "African Scam".
Selepas menyedari ditipu, mangsa datang ke Malaysia dan membuat laporan di Kedutaan Taiwan di sini dan seterusnya pihak polis telah menjalankan risikan dan berjaya menahan kesemua mereka, kata Rodwan.
Pada serbuan di Seri Kembangan, antara yang dirampas ialah sejumlah barang kemas bernilai kira-kira RM100,000, pelbagai jenis peralatan komputer, pelbagai jenis dokumen dan buku cek, sejumlah kad ATM dan visa pelbagai jenama serta wang tunai AS$15,000 dan RM14,260, katanya.
Beliau berkata, polis juga percaya wang hasil penipuan digunakan untuk menjalankan perniagaan sewa kereta yang didaftarkan atas nama suspek wanita tempatan terbabit.
Katanya, empat kereta termasuk Toyota Rush dan Honda Accord bernilai kira-kira RM400,000 dirampas dari sebuah premis perniagaan yang terletak berhampiran kediaman dua suspek yang juga suami isteri, di Seri Kembangan.
"Pasangan suami isteri itu mempunyai seorang anak lelaki berumur setahun setengah dan si suami menetap di sini menggunakan visa pelancong manakala si isteri seorang ahli perniagaan.
"Seorang lagi suspek yang ditahan di sebuah apartmen di Cheras adalah seorang pelajar kolej swasta," katanya.
Rodwan berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak tiga atau empat bulan lalu.
"Kita akan menyiasat jika sindiket ini terbabit dengan kes lain yang dilaporkan dan kes ini adalah yang pertama dilaporkan untuk tahun ini," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda serta di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan.
Semua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga esok.
Rodwan berkata, tahun lalu sebanyak 759 kes penipuan dengan anggaran kerugian kira-kira RM20.5 juta dilaporkan dan 130 individu sudah didakwa.
"Untuk tahun ini sehingga bulan lalu pula sebanyak 245 kes dengan anggaran kerusian RM9.4 juta dilaporkan dan 48 individu didakwa," katanya.
- BERNAMA