Wilayah telefon bimbit pintar Celcom
Pelaksanaannya merangkumi tawaran rangkaian liputan tanpa batasan, penambahbaikan kandungan personal, peningkatan kapasiti pelayaran Internet, suara berdefinisi tinggi (HD) dan juga pakej harga eksklusif.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly, tawaran perkhidmatan itu bakal memenuhi keperluan operasi sofistikated pada kebanyakan telefon bimbit pintar.
''Kami di Celcom berbangga dapat membawa rangkaian servis telekomunikasi ini ke peringkat terbaik seiring peningkatan jumlah pengguna telefon bimbit pintar di Malaysia.
''Celcom telah menerajui pelbagai segmen dalam pasaran telekomunikasi negara. Justeru, menerusi fokus strategi ini, kami yakin dapat mendominasi ekosistem telefon bimbit pintar di negara ini,'' katanya pada pelancaran Wilayah Telefon Bimbit Pintar Celcom di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sebagai usaha menuju ke arah pembangunan 'wilayah' itu, Celcom telah menjalankan pelbagai aktiviti pembangunan infrastruktur dalam jangka masa 12 tahun lepas.
Ia termasuk operasi menaik taraf pencawang 3.5G yang mampu menyokong kelajuan data sehingga 14.4 megabit sesaat (Mbps) serta bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi Ericsson dan Huawei untuk menggantikan infrastruktur 2G kepada 3G di seluruh negara.
Di samping itu, Celcom turut menjalankan projek pemodenan menerusi usahasama bersama beberapa syarikat seperti Nokia Siemens Network, Telekom Malaysia Berhad, DiGi, Celcom Timur (Sabah) dan Sacofa Sdn. Bhd.
Tidak cukup dengan itu, Celcom bersama-sama syarikat Motricity bakal membina dan menguruskan portal serta 'pusat membeli belah' maya yang lebih mesra alam untuk kelancaran operasi pelbagai peranti dan servis.
Melengkapkan servis itu, syarikat berkenaan baru-baru ini memperkenalkan pelan langganan perniagaan istimewa untuk telefon bimbit pintar iPhone 4.
Pada majlis sama, Pengarah Pemasaran Celcom Axiata Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin telah memberi penerangan mengenai keistimewaan pakej iPhone4 daripada Celcom.
''Pengguna iPhone4 yang melanggan pakej Celcom akan dapat menikmati pengalaman komunikasi terbaik daripada segi suara, e-mel, pelayaran Internet, video dan juga mesej.
''Pengguna juga boleh berbual tanpa henti dengan sesiapa sahaja menerusi perkhidmatan panggilan Internet.
''Kelebihan lainnya, pakej ini menawarkan akses data pelayaran Internet sehingga enam gigabit (GB), 600 khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mana-mana operator serta lanjutan jaminan dan insurans sehingga 24 bulan,'' katanya.
Tawaran eksklusif iPhone 4 itu boleh diperolehi pada harga RM248 untuk model 16GB dan RM538 untuk 32GB bagi kontrak selama 24 bulan dan langganan Celcom Bix P248.