Top Ad 728x90

,

Enam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI)


KUALA LUMPUR 5 Julai - Kerajaan hari ini mengumumkan enam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) termasuk kewangan awam yang disasarkan mewujudkan penjimatan berjumlah RM13 bilion dan peningkatan pendapatan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala berkata, penjimatan itu boleh dilaksanakan melalui proses pemerolehan dan pengurangan perbelanjaan kerajaan terutama dalam belanja perjalanan.

Menurut beliau, penjimatan itu ditakrifkan sebagai ruang fiskal dalam belanjawan kerajaan yang mana sumber disediakan untuk tujuan tertentu tanpa menjejaskan kemapanan kedudukan kewangan atau kestabilan ekonomi.

SRI merupakan komponen kedua penting dalam ETP, tambahan kepada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam usaha meningkatkan daya saing negara.

Enam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) diumumkan hari ini bagi meningkatkan tahap daya saing negara di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), termasuk 12 Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA).

Inisiatif-inisiatif tersebut ialah kewangan awam, peranan kerajaan dalam perniagaan, pembangunan modal insan, penyampaian perkhidmatan awam, standard antarabangsa dan liberalisasi serta merapatkan ketaksamaan (perniagaan sederhana dan kecil Bumiputera).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menerajui dua SRI iaitu kewangan awam dan peranan kerajaan dalam perniagaan manakala Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah pula membantu beliau dalam kewangan awam.

Bagi peranan kerajaan dalam perniagaan, ia akan bertindak pemudah cara untuk menjamin kecairan dalam pasaran dan meningkatkan penglibatan sektor swasta.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Sumber Kemanusiaan, Datuk Dr. Subramaniam pula diberikan tanggungjawab dalam SRI pembangunan modal insan.

SRI itu akan melaksanakan pelbagai daya usaha dan memodenkan undang-undang buruh negara seperti dasar gaji minimum, menggunakan bakat pekerja wanita, menaikkan taraf latihan dan pengetahuan tenaga pekerja dan meningkatkan tahap pengurusan sumber manusia.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan akan mengetuai SRI penyampaian perkhidmatan awam untuk membina sektor awam yang lebih kecil, cekap dan mantap kepada rakyat dan sektor perniagaan, sekali gus mencipta sebuah sektor awal berdaya maju.

Standard Antarabangsa dan Liberalisasi (ISL) pula menyaksikan pembabitan tiga kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Ketiga-tiga menteri berkenaan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili akan mengepalai SRI ISL.

Pembaharuan ISL akan membantu meningkatkan daya saing dalam tiga bidang utama iaitu pembebasan pasaran perkhidmatan, pelaksanaan piawaian serta undang-undang persaingan.

Sektor perkhidmatan akan diliberalisasi dan pemansuhan had dalam pemilikan syarikat serta pengambilalihan tenaga asing di Malaysia akan dilaksanakan beransur-ansur.

Ini akan melengkapkan usaha meningkatkan mutu dan piawaian barangan keluaran negara, meningkatkan jenis barangan dari segi rantaian nilai, sekali gus membolehkan ia mendapat harga lebih lumayan di pasaran dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop akan menerajui SRI bagi merapatkan jurang ketaksamaan usahawan bumiputera dengan menyasarkan pembangunan generasi usahawan bumiputera bertaraf antarabangsa.

Kesemua SRI itu adalah kluster berdasarkan kepada 37 dasar yang dicadangkan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara yang mencadangkan sebanyak 51 dasar, termasuk dalam Bidang Ekonomi Utama Negara dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90