Khamis, Julai 07, 2011

Kitar Semula - Mulakan dengan telefon bimbit

Setiap kali subjek kitar semula diutarakan umum mengetahui mengenai perkara tersebut tetapi, persoalannya adalah sejauh mana ia diamalkan? Sampah hasil daripada barangan pengguna seperti tin, kertas surat khabar dan botol kaca memang tidak perlu diperkatakan lagi. Namun, bagaimana pula dengan barangan elektronik terutama telefon bimbit yang tidak digunakan lagi selepas ia dianggap ketinggalan zaman?

Dalam kajian yang dilakukan oleh syarikat pengeluar telefon bimbit Nokia, hanya tiga peratus sahaja yang mengitar semula, manakala 44 peratus lagi menyimpan telefon lama mereka di rumah. Malah, terdapat segelintir individu yang membuang pemain MP3 dan telefon bimbit Nokia 3310 mereka terus ke dalam tong sampah.

Menurut laman web www.fonebank.com, sebuah telefon bimbit mengandungi bahan-bahan berbahaya seperti kadmium, rodium, nikel, raksa, arsenik dan banyak lagi yang boleh mencemar alam sekitar. Jika dibuang ditapak pembuangan sampah pula, gajet yang pernah menjadi barang kesayangan anda dahulu itu akan mengeluarkan gas bertoksik yang boleh mencemar nutrisi tanah dan sumber air. Menurut Presiden Persatuan Kandungan Mudah Alih, Azli Paat, bahagian yang paling bertoksik dalam barang elektronik adalah bateri kerana ia boleh menghasilkan bahan bertoksik seperti merkuri dan kadmium yang beracun selain litar elektronik. Katanya, sehingga awal tahun 2011, sebanyak 32.4 juta nombor telefon yang telah berdaftar.

“Secara kasar, sebuah bateri telefon mampu bertahan selama enam bulan maka secara anggarannya sebanyak 64.8 juta bateri akan dibuang dalam setahun,” ujar Azli ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Terang beliau, ketika membuang sampah, bahan-bahan yang tidak diasingkan antara organik dan bahan tidak mesra alam akan dihantar terus ke tempat pelupusan sampah terbuka. “Bahan-bahan bertoksik daripada bateri atau telefon tadi akan masuk ke dalam ekosistem dengan mencemari tanah terlebih dahulu. Sebab itu banyak kawasan tanah pelupusan sampah kelihatan mati malah, tidak boleh ditanam apa-apa tumbuhan.

“Sebagai contoh, merkuri akan mengalir ke dalam sistem sungai seterusnya boleh mencemarkan kawasan di sepanjang sungai,” ulas Azli lagi. Merkuri dan kadmium adalah bahan yang sangat beracun kepada hidupan air seperti ikan dan ia boleh masuk ke dalam kitaran makanan manusia. Lebih teruk lagi, kata Azli, jika merkuri memasuki sistem badan manusia, ia boleh menyebabkan kematian dan penyakit-penyakit seperti kanser. Tambahnya, bateri dan telefon bimbit perlu dibuang atau dikitar semula dengan cara yang betul seperti yang disediakan oleh sayrikat Nokia atau Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Peranan individu

Kerana itu sebagai salah seorang penduduk dunia, mulakan langkah pertama dengan mengitar semua telefon bimbit lama di tempat-tempat yang menyediakan kemudahan kitar semula. Nokia Malaysia baru-baru ini telah melancarkan kempen terbaharu bagi menggalakkan orang ramai mengitar semula telefon bimbit mereka. Dikenali sebagai Nokia Recyclimpics, syarikat pengeluar telefon terkemuka itu mereka bentuk sebuah gerai yang bersifat hiburan dan pada masa yang sama dapat mengitar semula. Pengurus Besar Nokia Malaysia, Singapura dan Brunei, Vlasta Berka berkata, pihak mereka mahu berkongsi pengetahuan mengenai kebaikan mengitar semula dengan orang ramai.

“Selain itu, kami mahu menjadikan kitar semula sebagai aktiviti yang mudah dan menyeronokkan,” ujar Berka ketika ucapan permulaan di MidValley, Kuala Lumpur. Sebanyak tiga buah permainan disediakan iaitu bola keranjang, melembing dan boling. Orang ramai hanya perlu membawa telefon bimbit lama mereka tanpa mengira jenama ke pusat-pusat Nokia. Menariknya, individu-individu yang mengitar semula telefon akan mendapat sebatang pokok yang dipanggil pokok angkat. Anda dapat memilih kedudukan pokok serta memantau tumbesarannya. Selain itu, dalam kehidupan seharian, pengguna telefon bimbit boleh mengurangkan pencemaran dengan memilih peranti elektronik yang mempunyai pelbagai fungsi. Banyak model telefon sekarang memiliki pelbagai fungsi seperti pemain MP3, kamera, navigasi dalam satu produk malah, kajian menunjukkan hampir 25 tan karbon dioksida dapat dikurangkan dengan penggunaan alatan-alatan itu.

Peranan syarikat

Di Nokia, pihaknya sudah lebih 10 tahun menjadikan amalan kitar semula dan pengurangan tenaga dalam setiap polisi syarikat mereka. Ia bermula dari peringkat pembuatan produk sehingga kepada penghantaran.

Dalam tempoh tersebut, syarikat pengeluar utama telefon itu telah berjaya mengurangkan impak buruk kepada alam sekitar sebanyak 65 peratus. Bercerita berkenaan perihal tersebut, Pengurus Hal Ehwal Alam Sekitar SEAP Nokia, Francis Cheong berkata, Nokia mengamalkan prinsip pemikiran kitar hayat terhadap produk dan langkah pemprosesan secara berterusan untuk mengurangkan impak kepada alam sekitar. “Nokia menggunakan logam yang dikitar semula dan biobahan untuk bahagian penutup, bingkai dan bahagian dalaman sesebuah telefon bimbit.

“Bahan-bahan tersebut terbukti mempunyai nilai prestasi dan kualiti sama dengan bahan asal,” ujar Francis dalam sesi penerangan kepada media baru-baru ini. Penukaran teknologi dalam setiap produk keluaran mereka juga turut mendapat perhatian seperti menggunakan pengecas yang mempunyai sistem peringatan dan kecekapan tenaga. “Paparan OLED (Organic Light-emitting Diode) pada produk telefon keluaran Nokia pula mampu menjimatkan tenaga sehingga 30 peratus berbanding paparan LCD yang hanya kurang 25 peratus sahaja,” ulasnya lagi. Bagi pembungkusan pula, Nokia turut menggunakan 95 peratus kertas kitar semula serta mengecilkan kotak bungkusan mereka bagi menjimatkan ruang.

“Pada akhir 2008, Nokia berjaya mengurangkan jumlah trak penghantar di atas jalan raya daripada 100,000 buah kepada 12,000 buah trak setahun sahaja,” kata Francis lagi. Peranan institusi pendidikan

Golongan remaja terutama pelajar adalah kelompok teramai yang menggunakan telefon bimbit tambahan pula pada peringkat usia begitu, fesyen memainkan peranan penting. Ledakan populariti laman-laman sosial turut memberi impak kepada golongan tersebut sehingga ada yang memiliki dua atau tiga buah telefon bimbit seorang. Disebabkan alasan tersebut, Pensyarah dan Penyelia Program Komunikasi Massa Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR), Lim Siz Siz berkata, dia mencadangkan kepada pelajarnya mengadakan hari kitar semula sebagai projek tahun akhir mereka. “Projek yang dipanggil sebagai ECOnnect itu boleh disifatkan berjaya

- KOSMO!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts