Isnin, Julai 11, 2011

Hentikan hasutan melalui SMS, Twitter, Facebook - Ketua Polis Negara

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mengingatkan pihak tertentu agar menghentikan perbuatan menghasut rakyat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), Twitter dan Facebook untuk membalas dendam selepas kegagalan perhimpunan haram Bersih 2.0 di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata, perbuatan itu amat berbahaya kerana boleh menimbulkan kekacauan dan harus dihentikan segera.

"Kita minta rakyat supaya fikir dengan baik dan bersama-sama memelihara keamanan negara. Tugas dan tanggungjawab itu bukan di bahu pihak polis sahaja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Sijil Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) ke-7 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor.

Seramai 1,024 pelatih menerima pentauliah yang membabitkan 19 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari seluruh negara.

Selepas perhimpunan itu, katanya, terdapat pihak menyebarkan hasutan dan provokasi melalui tiga medium tersebut termasuk kenyataan berunsur perkauman dan menanam kebencian terhadap kerajaan.

Beliau berkata, polis sudah membebaskan dengan jaminan polis 1,667 orang yang ditahan kerana terbabit dalam perhimpunan haram Bersih 2.0 di Kuala Lumpur semalam.

Katanya, kertas siasatan akan dibuka terhadap mereka dan tindakan susulan akan diambil.
Mereka yang ditahan dalam perhimpunan haram itu terdiri daripada 1,000 orang awam, pemimpin pembangkang dan 91 individu yang dilarang memasuki ibu kota.

Antara yang ditahan ialah penganjur Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Datuk S Ambiga; Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Timbalannya, Mohamad Sabu.

Mengenai dakwaan polis menggunakan kekerasan ketika menangani perhimpunan itu Ismail berkata, pihaknya bertindak mengikut situasi.

"Gas pemedih mata dilepaskan polis selepas penyokong BERSIH cuba merempuh sekatan," katanya.

- BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts