Lebih Sejuta Permohonan Pendaftaran Pengundi Baru Diproses

Sebanyak 1,096,777 permohonan pendaftaran pemilih baru telah diproses pada 2010.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, jumlah permohonan bagi 2010 adalah sebanyak 820,156 manakala 276,621 direkodkan pada 2009 dan kesemuanya diproses pada tahun sama.

"Namun, jumlah permohonan pendaftaran baru ini berbeza dari tahun ke tahun kerana ia bergantung kepada kesedaran warganegara Malaysia yang layak untuk mendaftar sebagai pengundi," katanya dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong yang ingin mengetahui jumlah permohonan yang dapat diproses dalam masa setahun.

Menurut beliau, jumlah permohonan adalah lebih rendah selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum dan akan menunjukkan peningkatan ketara apabila tarikh pilihan raya semakin hampir.

Jelasnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai seramai 132 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat secara tetap untuk menguruskan pendaftaran pemilih ini.

"Sehingga Ogos lalu, SPR melantik seramai 10,865 Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang terdiri daripada wakil parti politik, jabatan, pertubuhan dan universiti bagi melancarkan proses pendaftaran baru dan pertukaran alamat pusat mengundi," katanya.

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, sebahagian PPP cenderung menghantar borang permohonan tersebut pada bulan ketiga setiap suku kepada SPR untuk urusan pemprosesan selanjutnya.

"Sebagai contoh, sebanyak 51,120 permohonan diterima pada April manakala Mei, 72,3260 dan Jun kira-kira 145,387 permohonan," tambahnya.

Mengulas mengenai peruntukan yang ditetapkan bagi tujuan pendaftaran pemilih, beliau berkata, kira-kira RM500,000 diperuntukan kerajaan pada tahun ini.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url