Mansuh PPSMI untuk aspirasi nasional

Oleh Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM

KEPUTUSAN untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak dilakukan semata-mata atas sebab pencapaian lemah pelajar, khususnya di luar bandar. Sesungguhnya ada banyak sebab lain yang lebih asas dan penting untuk tindakan begitu diambil.

Sebenarnya pelaksanaan PPSMI berlaku dalam keadaan yang luar biasa. Kewibawaan bahasa Melayu selaku bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam kapasitinya sebagai bahasa ilmu, disambar untuk diberikan secara tergesa-gesa kepada bahasa Inggeris. Ia dikatakan sedemikian kerana tiada sebarang perbincangan dan rundingan diadakan sebelum dilaksanakan pada 2003.

Ini berlainan sekali apabila PPSMI dimansuhkan. Ia didebatkan oleh pelbagai pihak melalui beberapa siri rundingan meja bulat pada 2008 dan 2009. Sehubungan ini, pemansuhannya dilakukan dengan penuh tertib, lalu keputusannya perlu dihormati.

Pemansuhan yang diumumkan pada Julai 2009, sesungguhnya adalah keputusan yang memperlihat pertimbangan bijak. Ia mengambil kira beberapa hala tuju negara yang penting agar pembentukan negara bangsa Malaysia, selain pembangunan negara Malaysia itu sendiri, berlaku dalam acuan kita sendiri, seperti yang diuar-uarkan dalam Wawasan 2020.

Pemansuhan PPSMI sebenarnya berasaskan kedua-dua pertimbangan pendidikan dan aspirasi nasional. Sehubungan ini, keputusan untuk kembali kepada keadaan asal, yakni menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama untuk pendidikan dua mata pelajaran ini, dilakukan untuk kebaikan negara.

Ia merangkumi kedua-dua nasionalisme dan nasionisme. Dalam konteks nasionalisme, pemansuhan PPSMI antaranya adalah untuk memupuk perasaan megah dan cinta yang sasa sifatnya kepada negara. Ini dilakukan melalui perlambangan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.

Manakala bagi nasionisme, kemakmuran rakyat dan kemajuan negara dijanakan oleh bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Ini bermaksud ia menjana pembangunan sosial yang tinggi dan maju tahapnya, selain menjadikan Malaysia negara moden.
Pihak yang cuba meraihkan sokongan sehingga ke luar negara agar PPSMI diteruskan kerana ramai pelajar di Lembah Klang dan juga di banyak bandar dan pekan lain di seluruh negara, yang tidak mempunyai masalah dengannya, menegaskan bahawa pelajar ini tidak boleh diketepikan hak linguistik mereka untuk memperoleh ilmu dalam bahasa Inggeris. Bagi pelajar di luar bandar yang rata-ratanya tidak dapat mengikuti pelajaran dengan baik melalui PPSMI, pihak ini mencadangkan mereka telah diberikan hak linguistik mereka melalui pemansuhan ini, untuk terus memperoleh ilmu dalam bahasa ibunda masing-masing, termasuklah bahasa Melayu bagi pelajar Melayu.

Di Malaysia, bahasa Mandarin dan Tamil adalah bahasa sukuan. Bahasa Melayu, walaupun bahasa ibunda kaum Melayu, selepas dinobatkan sebagai bahasa negara, tidak boleh sekali-kali disamakan tarafnya dengan bahasa sukuan, walaupun dalam konteks PPSMI, apatah lagi konteks nasional. Sehubungan ini, di Malaysia, bahasa Melayu adalah pertama-tamanya bahasa negara, dan itulah syiarnya!

Sebagai bahasa kebangsaan, ia adalah bahasa semua kaum di Malaysia. Ia mewakili seluruh pelosok negara dan setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang budaya, dan tidak hanya untuk kaum Melayu. Sebagai bahasa untuk entiti politik, sosial dan budaya yang namanya Malaysia, bahasa Melayu adalah lambang negara yang perlu disanjungi oleh semua rakyat pada setiap masa.

Lebih penting lagi sebagai bahasa negara, bahasa Melayu adalah bahasa pribumi Malaysia. Oleh itu, ia sesuai digunakan untuk membangkitkan perasaan kekitaan sesama rakyat. Dengan ini, bahasa Melayu tidak dapat dinafikan, adalah wahana pemersatuan di Malaysia. Dalam konteks ini, ia boleh dipanggil bahasa Malaysia.

Atas landasan ini saja pun, bahasa Melayu adalah lebih daripada layak, malah sahih sekali sebagai pilihan tepat lagi pragmatik untuk dijadikan bahasa pengantar utama, dan satu-satunya dalam sistem pendidikan kebangsaan untuk semua peringkat pengajian, termasuklah di universiti. Sehubungan ini, pemilihan bahasa Melayu sebagai wahana penting dalam pembentukan negara bangsa dan pembangunan Malaysia, juga adalah keputusan tepat dalam usaha kita membina jati diri linguistik kebangsaan. Melaluinya, jati diri ini bukan saja amat jitu sifatnya. Tetapi yang lebih penting ia bersifat budaya pula, iaitu ia memperlihat keperibadian negara ini yang penduduk asal dan majoritinya adalah Melayu.

Sebagai bahasa rasmi pula, bahasa Melayu adalah dan perlu diyakini sebagai alat yang mampu memajukan rakyat dan negara Malaysia, sama ada dalam bentuk kebendaan, kesohoran atau status sosial. Sebenarnya, ia adalah bahasa yang mendukung fungsi penting, untuk memartabatkan rakyat dan negara kita di rantau ini, dan juga di persada antarabangsa, melalui kejayaan yang tinggi lagi canggih sifatnya.

Mendidik anak bangsa dalam bahasa negara sendiri adalah perkara lumrah, walaupun pada zaman moden ini. Ramai tokoh dunia muncul daripada negara yang menggunakan bahasa sendiri dalam sistem pendidikannya. Sehubungan ini, bahasa Inggeris tidak dicipta Tuhan sebagai satu-satunya alat yang hanya boleh memajukan umat di dunia ini.

Meskipun begitu, bahasa adalah hanya wahana dalam keseluruhan ketamadunan manusia. Sungguhpun penting, ada banyak lagi pertimbangan yang sama tinggi nilainya. Antaranya adalah aspirasi nasional untuk berjaya dalam acuan sendiri.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url