KTMB terima koc kereta api berwarna biru dari Jepun
WAKAF BAHARU: Empat belas koc (gerabak) kereta api berwarna biru dari Jepun yang pernah mengangkut penumpang dari Tokyo ke daerah baratnya di Pulau Kyushu kini berpindah ke Malaysia.
Setelah 30 tahun koc-koc ini menjadi teman setia rakyat Jepun yang memang meminati perjalanan dengan menaiki kereta api sejak dulu sehingga kini, koc-koc biru ini menjadikan Malaysia sebagai rumah barunya.
Bagi menghargai hubungan baik antara kerajaan Jepun dengan negara-negara di rantau ini, gerabak kereta api itu dibahagi-bahagikan di antara beberapa buah negara Asean termasuk Indonesia, Thailand dan Malaysia.
Thailand menerima 126 buah koc yang sama manakala Indonesia pula menerima lebih 70 buah koc jenis keretap api elektrik.
Pemberiannya adalah secara percuma daripada Jepun. Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hanya membayar untuk mengangkutnya ke Malaysia melalui kargo jalan laut dan mengubahsuai bahagian bawah atau 'roda' kereta api supaya sesuai dengan keadaan dan saiz landasan di negara ini.
Nama baru koc kereta api itu, Harimau Malaya, dilancarkan Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan di Stesen Keretapi Wakaf Baharu di sini baru-baru ini.
Bila ditanya tentang kos yang dikeluarkan pihak KTMB untuk menerima hadiah 14 buah koc ini, Dr Aminuddin memberitahu: "Hampir RM6.5 juta."
"Pulangan pelaburan ini dijangkakan selama lima tahun dan koc-koc ini kami yakin akan terus beroperasi sekurang-kurangnya untuk sepuluh tahun lagi.
"Yang pasti koc-koc ini akan menyumbang terhadap kelancaran perkhidmatan kereta api di sektor Pantai Timur dari Tumpat ke Singapura yang dijangka bermula pada awal tahun 2012 nanti," kata beliau.
INTERCITY
Atas jasabaik pihak Kementerian Pengangkutan, pihak KTMB memohon untuk mendapatkan koc-koc ini daripada kerajaan Jepun bagi perkhidmatan KTM 'Intercity' atau antara bandar.
KTMB mensasarkan lebih 185 ribu penumpang bakal menggunakan perkhidmatan koc kereta api yang baru ini setiap tahun.
"Koc-koc ini tiba di Westport, Pelabuhan Klang pada Disember 2010. Kereta api Harimau Malaya ini diharap dapat merancakkan sektor pelancongan domestik terutamanya bagi mereka dari Singapura dan Indonesia," kata Dr Aminuddin.
Para wartawan baru-baru ini telah dibawa untuk menaiki koc ini dari Stesen Wakaf Baharu menuju ke Johor Baharu.
Kerajaan Jepun diwakili Dr Hiroki Yajima, Setiausaha Pertama, perihal Pengangkutan dan Pelancongan, di Kedutaan Jepun serta pegawai-pegawai lain turut serta di majlis pelancaran itu.
SELENGGARA
Kereta api biru ini telah diselenggara mengikut waktu yang dijadualkan.
"Perabot dan kemasan dalaman koc-koc ini masih baik dan dalam keadaan hampir sempurna kerana ia diselenggara mengikut waktu yang tepat. Walaupun sudah berusia, namun koc-koc ini kelihatan seperti baru.
"Ia dicuci mengikut jadual dan perabotnya telah ubahsuai dan diganti fabriknya. Ia tidak perlu sebenarnya. Orang Jepun amat berhati-hati semasa menggunakan peralatan di dalam kereta api malah mereka memastikan ia boleh digunakan untuk jangka waktu yang panjang tanpa perlu membazir kos tambahan," kata Mohd Azami Mohd Zain, pengurus KTMB.
Tempat duduk kelas dua kereta api Harimau Malaya ini tidak dipasangkan alat audio visual seperti televisyen atau perakam DVD.
Ini mungkin disebabkan penggunaan koc-koc ini sejak 30 tahun dulu berbeza keperluan penumpangnya.
Tambahan pula warga Jepun lebih minat membaca buku dan mengelakkan bunyi bising yang boleh mengganggu ketenteraman yang mereka inginkan di dalam perjalanan.
Perjalanan dari Wakaf Baharu ke Johor Baharu itu mengambil masa kira-kira 16 jam.
Jika dibandingkan koc kereta api KTMB yang sedia ada, tempat tidur koc biru kurang lebar dan tilamnya lebih nipis.
Walaupun begitu, tangga yang perlu dipanjat untuk naik ke tempat tidur atau 'bunk' di atas, boleh dilipat.
Ini menjimatkan ruang selain lebih praktikal untuk ruang yang agak sempit di antara empat tempat tidur yang bersebelahan.
Tidak dapat dinafikan, kemasan dalaman koc-koc ini, baik di dalam kabin, tempat duduk mahupun tempat tidur bertingkat selain tandas, singki membasuh muka dan bilik asap untuk perokok, masih elok keadaannya.
Dindingnya juga bersih kerana sikap menconteng 'grafiti' tidak menjadi budaya hidup warga Jepun yang penuh beradab.
Diharapkan kereta api Harimau Malaya ini berupaya memperkembang industri pelancongan rel di sektor Pantai Timur selain boleh ditingkatkan dengan promosi pakej perjalanan yang menarik di negara ini.
- MSTAR