UMT Wujud Fakulti Perikanan Dan Akua Industri Mulai Januari 2012
Naib Canselornya Prof Datuk Dr Aziz Deraman berkata ia adalah menyahut seruan kerajaan untuk UMT menceburkan diri dalam bidang berkenaan dan bersesuaian dengan penubuhan awal universiti itu bagi meneroka ilmu samudera.
Bercakap kepada pemberita di sini Ahad, beliau berkata penubuhan fakulti baru itu dibuat kerana menyedari negara bergantung pada makanan laut yang diimport dengan jumlah yang tinggi.
Langkah itu juga sesuai dengan hasrat kerajaan supaya negara boleh bergantung kepada bekalan makanan asas sendiri suatu masa nanti, katanya.
Sudah sampai masanya UMT menonjolkan keberkesanan universiti sebagai sebuah fakulti yang penting untuk negara terutamanya bagi bekalan ikan dan hasil laut yang lain, tambah beliau.
"Kita harap dengan adanya fakulti ini, UMT akan menjadi lebih kukuh dalam ilmu samudera kerana setakat ini UMT telah mempunyai Fakulti Bio Teknologi Marin yang melibatkan hidupan laut," katanya.
Beliau berkata dengan adanya fakulti baru itu UMT akan dapat mengadakan banyak lagi kerjasama dengan universiti-universiti asing terutamanya universiti di Indonesia dalam bidang berkenaan.
Penubuhan fakulti baru itu telah diluluskan Kementerian Pengajian Tinggi pada September lalu, kata Aziz.
- BERNAMA