Khamis, Disember 22, 2011

Rakyat Malaysia kurang kesedaran keselamatan Internet

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

TAHUKAH anda rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM1.8 bilion dengan berurus niaga di Internet.

Angka ini diperoleh oleh agensi pembayaran Internet Paypal pada tahun 2010. Mereka menjangkakan ia akan meningkat kepada RM5 bilion pada tahun 2014.

Dalam kajian yang dilakukan, sejumlah 1.1 juta rakyat Malaysia berbelanja di Internet dengan purata RM2,461 setiap orang.

Bayangkan juga betapa ramai jumlah pengguna yang terdedah kepada jenayah di Internet.

Dengan begitu banyak transaksi yang melibatkan wang di dunia siber, sudah tentu kes-kes penipuan akan turut meningkat.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Paypal bertajuk Mobile Safety Insight mendapati sembilan daripada 10 rakyat Malaysia prihatin tentang maklumat peribadi yang mereka paparkan di Internet.

Lebih mengejutkan hampir separuh daripada jumlah tersebut mengakui tidak tahu berapa banyak laman web yang memiliki maklumat peribadi mereka berdasarkan apa yang pernah mereka isi sebelum ini.

Selain mengenal pasti risiko dan tabiat transaksi, kajian itu turut mengenal pasti trend dalam pembayaran menerusi telefon bimbit pintar dan betapa tahap keselamatan dan keselesaan merupakan faktor utama untuk rakyat Malaysia yang menggunakan Internet sebagai medium transaksi wang mereka.

Malah rakyat Malaysia juga didapati kurang kesedaran dalam hal yang berkaitan dengan keselamatan siber di mana mereka kurang mementingkan aspek keselamatan ketika berurus niaga di Internet.

Ini termasuk gagal untuk log keluar setiap kali selesai melakukan urus niaga di sesuatu laman web.

Malah, perbuatan menggunakan satu kata laluan untuk semua urus niaga juga sebenarnya mendedahkan diri kepada penipuan dan penyelewengan di dunia siber.

Agak mengejutkan apabila kajian tersebut mendedahkan bahawa satu daripada dua rakyat Malaysia menggunakan kata laluan yang sama untuk semua akaun mereka.

Hasil kajian itu jelas membuktikan bahawa kebanyakan rakyat negara ini memandang rendah akan ancaman yang bakal mereka peroleh menerusi Internet.

Pada tahun 2010, CyberSecurity Malaysia telah menerima lebih 8,000 laporan tentang tahap keselamatan menerusi talian pertolongan Cyber999.

Dari Januari hingga Oktober 2011, pusat bantuan ini merekodkan sejumlah 13,173 insiden berbanding 6,204 aduan yang berlaku pada 2010.

Ia menunjukkan Peningkatan sebanyak 112 peratus. Angka itu merupakan sesuatu yang membimbangkan berhubung keprihatinan rakyat negara ini terhadap ancaman dan keselamatan Siber.

CyberSecurity Malaysia, Profesor Datuk Husin Jazri berkata, insiden yang berlaku di Malaysia bukan satu isu yang kecil malah ia turut melibatkan dunia.

Ancaman dunia siber amat cepat berkembang dan penyelewengan di laman web ini semakin canggih dengan pelbagai kaedah yang membolehkan mereka mencuri identiti pengguna dan menipu identiti mereka sendiri di laman web.

"Saya menggesa semua pengguna Internet jangan begitu percaya dengan laman web.

"Dengan melayari sesuatu laman web anda tidak sedar bahawa anda telah berkongsi maklumat dengan sesiapa sahaja dan anda tidak tahu kepada siapa anda memberikan maklumat tentang kewangan.

"Ini satu langkah yang amat penting bagi melindungi diri anda di Internet," jelasnya.

Sementara itu, pengarah urusan PayPal Asia dan India, Elias Ghanem berkata, ramai rakyat Malaysia tidak sedar akan bahaya yang terdedah apabila mereka memberi atau meninggalkan maklumat peribadi di satu-satu laman web.

"Dengan menggunakan satu kata kunci untuk banyak akaun boleh diibaratkan seperti anda menggunakan satu kunci untuk rumah, kereta, pejabat dan tempat selamat lain.

"Dalam dunia sebenar kita tidak boleh amalkan perbuatan seperti ini. Jadi kenapa kita bersikap lewa dalam dunia siber pula?

''Mungkin mereka tidak tahu risiko tersebut jadi inilah masanya untuk memberitahu rakyat Malaysia agar mengambil berat tentang penggunaan sistem kata kunci yang lebih kuat," jelasnya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts