Suami pelindung keluarga, bukan pencetus keganasan
LAPORAN media menyatakan lebih 95 peratus kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membabitkan kecederaan fizikal terhadap wanita, satu perkara perlu dipandang serius.
Dalam institusi perkahwinan, lelaki dijadikan sebagai ketua keluarga sesuai dengan fitrah kejadian lelaki yang lebih gagah dan beberapa kelebihan lain berbanding perempuan.
Firman Allah yang bermaksud: “Lelaki adalah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34)
Ajaran Islam mensyaratkan supaya lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap perempuan. Sebagai pemimpin, lelaki dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak.
Amat malang jika lelaki yang diharap sebagai pelindung dan menjamin keselamatan perempuan bertindak sebaliknya. Laporan kes keganasan rumah tangga hingga mangsa terpaksa mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara membuktikan betapa seriusnya perkara ini.
Islam melarang sama sekali dilakukan sebarang kekerasan dalam rumah tangga. Biarpun ayat 34 surah an-Nisa membenarkan suami memukul isteri, ia tidak boleh dikategorikan sebagai kebenaran menggunakan penderaan atau kekerasan terhadap isteri.
Ayat 34 surah an-Nisa yang bermaksud: “Dan kepada mereka yang kamu khuatir akan kederhakaannya, berikan nasihat dulu, kemudian tinggalkan tempat tidurnya dan hendaklah kamu pukul.”
Keizinan memukul isteri itu jelas dalam konteks memberi pengajaran setelah cara nasihat dan memulau tidak berkesan untuk memperbaiki kesalahan isteri. Malah, pukulan itu sebenarnya hanya dalam tahap tidak mencederakan fizikal, sekadar menunjukkan ketegasan suami supaya isteri tidak lagi berani melakukan perkara tidak diingini.
Rasulullah SAW memberi ingatan dengan sabda bermaksud: “Mengapa ada lelaki dalam kalangan kamu yang suka memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, pada hal dia akan menyetubuhi isterinya itu pada hari yang lain.” (Hadis riwayat Ahmad)
Islam melebihkan suami pada kedudukan bukan bermakna berkuasa melakukan apa saja mengikut sesuka hatinya. Kuasa dan kekuatan dimiliki perlu digunakan untuk kebaikan, bukannya menimbulkan perkara buruk.
Suami mesti menunjukkan perasaan kasih sayang dan menyuburkan perasaan ceria serta gembira dalam keluarga. Amalan itu akan mewujudkan perasaan hormat dan sayang isteri terhadap suami.
Antara perkara boleh menyenangkan hati isteri ialah menolong melakukan kerja di rumah. Rasulullah SAW sering menolong meringankan tugas isterinya dengan melakukan sendiri seperti menjahit baju koyak, memasak, membersihkan laman dan kerja lain.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik antara kamu ialah orang yang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang yang paling baik terhadap isteri daripada kamu.” (Hadis riwayat Tarmizi)
Sikap baik Rasulullah SAW terhadap isteri diakui oleh isteri baginda Siti Aisyah. Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Aisyah pernah berkata: “Rasulullah tidak pernah sekali-kali memukul isterinya dan pembantunya.”
Isteri juga mempunyai peranan untuk mengelak berlaku keganasan rumah tangga. Lazimnya keganasan berlaku bermula dengan perang mulut. Sikap isteri cenderung mengeluarkan perkataan berunsur provokasi ketika bertengkar mengakibatkan tindak balas secara kekerasan oleh suami.
Lelaki tidak sabar biasanya tidak suka menggunakan suara untuk membalas 'serangan' isteri, sebaliknya akan melepaskan kemarahan dengan menggunakan kaki dan tangan hingga menyebabkan kecederaan, bahkan ada kes membawa maut.
Sebarang masalah perlu dileraikan dengan perbincangan berhemah. Sikap tidak mahu mengalah atau merasakan ‘ada hak’ perlu dipertahankan boleh merebak kepada keganasan fizikal. Ketika perasaan sedang marah, syaitan mudah mempengaruhi melakukan perbuatan boleh mendatangkan kesan lebih buruk.
Syaitan amat gemar masuk campur dalam pertelingkahan suami isteri dengan harapan berlaku perceraian. Syaitan amat berharap keruntuhan institusi rumah tangga kerana melaluinya lebih mudah berlaku kejahatan lain.
Bahkan, sebenarnya syaitan tidak suka jika lelaki dan perempuan mengambil keputusan berkahwin. Syaitan bersedih setiap kali berlaku ijab dan kabul menyatukan lelaki dan perempuan dalam ikatan perkahwinan sah. Jadi, jangan kita menggembirakan syaitan apabila berlaku perceraian atau perkara tidak baik dalam rumah tangga.
- BERITA HARIAN