Warga emas perlu awasi kesihatan
Cara yang terbaik untuk terus sihat dan cergas adalah dengan menjaga badan dan fikiran supaya selalu aktif.
Menurut kajian, terdapat 2.4 juta warga emas di Malaysia hari ini. Iaitu kira-kira lapan peratus daripada jumlah penduduk negara.
Jabatan Statistik mensasarkan bilangan itu bertambah menjadi 3.2 juta orang 10 tahun lagi. Apabila bilangan warga emas menjadi 9.5 peratus daripada komposisi penduduk negara pada 2035, maka Malaysia secara rasmi menjadi negara masyarakat tua seperti Jepun dan Singapura.
Bilangan warga emas ( berumur 60 tahun ke atas) semakin meningkat kerana jangka hayat yang lebih lama berikutan kualiti hidup dan kemudahan perubatan lebih baik. Secara purata, jangka hayat wanita negara ini ialah 78 tahun dan lelaki 76 tahun.
Keadaan itu mempunyai kesan besar terhadap negara. Di peringkat keluarga, ia bermakna anak-anak perlu memastikan penjagaan kepada orang tua mereka.
Menurut Ketua Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Sajaratul Nisah Othman, proses penuaan berlaku sejak dilahirkan.
Bagaimanapun katanya, tidak ramai yang menyedari perubahan itu sehinggalah mereka sendiri mengalami perubahan.
"Ada orang kelihatan tua di usia 40 tahun. Ada orang apabila berumur 60 tahun. Manakala ada pula masih lagi aktif walaupun telah berumur 80 tahun.
"Ini semua disebabkan perbezaan gaya hidup, pemakanan dan keturunan,'' ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Katanya apabila usia meningkat, perubahan diri juga berlaku. Malah kulit tampak berkedut terutama di wajah, kulit kering dan mungkin bertompok.
Ketika itu, sendi dan tulang mudah patah, otot menjadi lemah, penglihatan menjadi kabur, pendengaran kurang terutama kepada bunyi nyaring, deria rasa dan bau semakin lemah.
Malah ia juga melibatkan perubahan-perubahan lain seperti tindak balas lebih lambat, penghadaman menjadi perlahan, saluran darah lebih keras dan kurang elastik, keupayaan jantung mengepam berkurangan, kurang keupayaan mengawal kencing serta kurang daya ingatan mungkin berlaku.
"Ketika ini, perhatian perlu diberikan oleh kaum keluarga terdekat. Sebab itu kita galakkan warga emas supaya hidup dalam suasana yang sihat dan mengamalkan pemakanan yang sempurna,'' katanya.
Bagaimanapun kata Dr. Sajaratul, pemakanan memainkan faktor penting dalam memastikan kesihatan warga tua terurus.
Mereka tidak lagi sibuk dengan beban kerja. Keadaan ini menyebabkan ramai warga emas mengamalkan gaya hidup sedentari (cara hidup seseorang yang kurang aktif).
"Hakikatnya, cara hidup ini bukan sahaja mengganggu kesihatan diri dengan penyakit-penyakit merbahaya tetapi juga boleh menyumbang kepada masalah lemah tulang.
"Gaya hidup sedentari tidak membantu kesihatan terutama tulang. Sebab itu kita perlu mengambil langkah untuk melindungi.
"Lebih bahaya sekiranya golongan yang terlibat terdiri daripada mereka yang berbadan besar atau gemuk. Ia menyebabkan mereka mudah untuk mendapat kerapuhan otot dan tulang,'' ujarnya.
Bagaimanapun, tegasnya, semua itu boleh dielakkan sekiranya warga emas mengamalkan hidup sihat dengan mengamalkan senaman yang betul dan pemakanan yang sesuai.
Katanya, warga emas digalakkan untuk mengambil makanan yang seimbang dan mengurangkan makanan yang mempunyai kandungan gula yang berlebihan.
- UTUSAN